Oleh: SYUQQREE DAIN
Video: HASIF HALIMI
SEKILAS pandang, pasti ada yang terlintas siapakah gerangan individu ceria di sebalik maskot katak merah jambu yang setia melayan kerenah kanak-kanak mahupun orang dewasa di hadapan sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota Kuala Lumpur.
Perwatakan comel diselangi aksi nakal mengejar pejalan kaki yang melalui kawasan tersebut membuatkan ramai yang teruja untuk mendekati dan mengambil gambar mahupun berkenalan dengannya.
Namun siapa sangka, di sebalik telatah mencuit hati amfibia itu terselit kisah perjuangan seorang anak muda yang kental. Dia sanggup meredah terik mentari serta lebatnya hujan sejak Mei tahun lalu demi kelangsungan hidup keluarga tercinta.
Salman Abdullah, 23, yang merupakan pemegang permit KL Street Artist Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadikan kerja sebagai pemakai maskot untuk menyara kakaknya yang kurang upaya.
Menyingkap rutin hariannya, seawal pukul lapan pagi, anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini mula mengemas pakaian serta peralatan yang akan dibawa dan berjalan kaki sekitar pukul 10 pagi dari Chow Kit ke Bukit Bintang bersama keluarganya yang juga merupakan penghibur jalanan.
Salman yang menjadi ‘katak’ jalanan selama 12 jam setiap hari berkata adakala hanya mampu meraih pendapatan RM13 sehari namun ia tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus berjuang. Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi di talian 011-1424 6815 (Salman). – WILAYAHKU