Berita

Rezeki jinakkan keli, pemancing bawa pulang RM5,000

- Diterbit 5 Februari 2025 2:59 PM MYT

SETELAH dua tahun mencuba nasib dengan menyertai pelbagai pertandingan memancing akhirnya tuah menyebelahi Md Darapi Awang, 55, yang berjaya dinobatkan sebagai juara Cabaran Joran Kuala Lumpur (CJKL) sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Peserta berasal dari Cheras ini tidak menyangka usaha menaikkan ikan keli seberat 12.180 kilogram (kg) melayakkan dirinya membawa pulang RM5,000.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, saya memang sering menyertai pertandingan memancing namun penyertaan kali ini sekadar suka-suka sahaja, Alhamdulillah tak sangka menang pula,” ujarnya yang mengambil masa lebih enam minit untuk menaikkan ikan tersebut.

Dia yang menggunakan umpan cacing mendahului peserta dari Kajang, Muhammad Nor Iman Mohd Adnan, 20, yang mendaratkan ikan keli seberat 11.865 kg sementara tempat ketiga pula menjadi milik Muhd Musrikin Aknan, 28, dari Klang, dengan hasil tangkapan keli seberat 11.862 kg.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan Ketua Unit Sukan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Eswan Ishak.

Pertandingan memancing anjuran DBKL dengan kerjasama JoranKL menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000, disertai lebih 600 kaki pancing dari seluruh negara dengan menyaksikan lebih 500 ekor ikan pelbagai spesies dinaikkan.

Terdahulu, majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Maimunah Mohd Sharif yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama para peserta yang mengambil bahagian.

Sebagai rekod, CJKL 2025 bukan sekadar satu pertandingan memancing tetapi platform riadah inklusif yang menggalakkan interaksi sosial serta memperkukuhkan hubungan dalam komuniti.

Dalam usaha untuk menjadikan CJKL sebagai acara tahunan, DBKL telah merancang empat siri pertandingan sepanjang tahun 2025, iaitu bersempena Hari Pekerja (Mei), Bulan Kemerdekaan (Ogos), dan Hari Sukan Negara (Oktober). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas