Oleh DEEL ANJER
PENYANYI kelahiran Labuan, Sabah, Reyhana Yunus akui rasa kecewa apabila bintangnya dalam dunia hiburan kurang bersinar jika dibandingkan dengan rakan-rakan artis seangkatannya.
Selepas dia menyertai pertandingan Bintang RTM pada 2007, tiga tahun selepas itu dia dilamar untuk bernaung di bawah satu label syarikat rakaman.
Selama dua tahun di sana, pihak pengurusan kurang memberi tumpuan kepadanya kerana ramai lagi artis yang turut berada di syarikat itu.
Meskipun mempunyai vokal yang bagus dan pernah memenangi pertandingan peringkat antarabangsa seperti World Championships of Performing Arts (WCOPA), hakikatnya bukan mudah untuk Reyhana Yunus mencari tempat dalam industri hiburan tempatan.
“Saya akui penat dan ada rasa kecewa tapi saya percaya soal rezeki. Belum lagi masanya buat saya. Namun saya bersyukur kerana masih menerima undangan persembahan tanpa putus sebagai sumber rezeki,” katanya.
Reyhana ditemui pada konsert World Stars Celebration yang meraikan kejayaan Karyawan Seni Persembahan Malaysia Di Kejohanan WCOPA baru-baru ini.
Konsert anjuran MATME Management tersebut buat julung kalinya di Dominus Arts Venue Grand Hall, Fairview International School, Kuala Lumpur.
Ia menampilkan seramai 17 alumni karyawan seni persembahan yang telah mewakili Malaysia ke WCOPA dan berjaya memenangi pingat serta gelaran dalam kategori seni persembahan yang disertai.
Selain Reyhana, konsert yang berlangsung selama dua jam itu dijayakan oleh barisan alumni WCOPA antaranya Farhana Mohamad, Ananda Wilson, Dr Sharip Zainal, Nisa Addina, Mohd Nurulazmie, Megan Lo Uise, Aloysius Susek, Pasqueletta Paulus, Muhammad Iskandar, Dhestiansa Rajeswara, Melissa Anne Jude, Sarah Qistina Lim, Amberly Maidon, Chloe Phang Ketty Natalia Rasul dan Datuk Wahadaniah. – WILAYAHKU