PERALIHAN teknologi kepada 5G pastinya memberi impak kepada semua industri termasuk sektor pembuatan yang membawa banyak persoalan terutama kepada pihak terlibat.

Menurut Pengarah Urusan APulsar Techonologies Sdn Bhd, Justin Kao, revolusi 5G membuatkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana sektor pembuatan akan menerima 5G dan sejauh manakah 5G akan membantu industri tersebut.
“Persoalannya kini bukan secara teknikal ia boleh dilakukan, kita telah lihat banyak negara dan syarikat telah membuktikannya. Cabarannya adalah tentang bagaimana sebagai sebuah negara dan juga sektor pembuatan menerima 5G ini selain bagaimana kami menggunakannya untuk memanfaatkan sektor pembuatan, meningkatkan produktiviti, kos dan sebagainya.
“Pada akhirnya ia bukan daripada aspek teknikal jadi untuk menjayakannya banyak pihak perlu terlibat dan semestinya kerajaan perlu ada untuk memberikan sokongan, bimbingan serta pembiayaan yang betul. Saya juga mengharapkan syarikat-syarikat yang lebih besar dapat memimpin dan melakukannya supaya yang lain boleh ikut dan belajar daripadanya,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui selepas Program 5G Techverse: Transforming Manufacturing with the power of 5G.
Justin yang juga moderator untuk program tersebut berkata, program itu merupakan platform terbaik buat para pemain industri berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai 5G dalam sektor pembuatan.
“Sesi ini juga menghimpunkan beberapa ahli panel yang juga merupakan pakar dalam bidang masing-masing terutamanya sektor pembuatan di mana perkongsian yang disampaikan adalah melalui pengalaman sebenar.
“Semua ini penting kepada sektor pembuatan kerana melihat bagaimana sesuatu itu dilakukan, keputusan dan pulangan pelaburan (ROI) kita tahu bagaimana sektor perkilangan bergerak untuk menerima pakai 5G. Ia juga bagi mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang telah dilakukan pada masa lalu. Dengan itu, kita boleh melakukannya dengan lebih cepat serta cekap,” ujar beliau.
Tambahnya, 5G adalah hala tuju yang betul untuk membantu industri pembuatan bergerak ke hadapan dan menjadi lebih berdaya saing. 5G pastinya satu elemen penting untuk keseluruhan perjalanan pendigitalan ini terutama dalam sektor pembuatan.
“Saya amat berharap sektor swasta, pengilang atau pembekal peralatan dan ramai lagi dapat bekerjasama untuk menjayakannya kerana ia adalah usaha bersama dan bukannya satu pihak sahaja,” jelasnya yang turut mengharapkan kerajaan dapat mengeluarkan insentif untuk menggalakkan syarikat telekomunikasi membawa sistem Internet of Things (IoT).– WILAYAHKU