PUTRAJAYA bukan sahaja terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana keunikan seni bina bangunannya yang ikonik bahkan kini ia juga menjadi lokasi tumpuan kerana menawarkan tempat makan yang bukan sahaja lazat bahkan selesa untuk dikunjungi.
Salah satu destinasi yang semakin mendapat perhatian ialah Food Valet Putrajaya. Terletak di Presint 4, ia merupakan inisiatif di bawah Perbadanan Putrajaya (PPj).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosmayudi Yusof, Food Valet Putrajaya adalah satu-satunya tempat makan berkonsepkan susunan kontena yang pertama di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan tersebut.
“Keunikan Food Valet terserlah di mana bahan binaannya diperbuat daripada kontena dan susunan kontena ini diilhamkan daripada corak tikar mengkuang sekiranya dilihat dari pandangan atas.
“Susunan kontena yang tidak tipikal sebagaimana food court lain jelas memberi satu perspektif berbeza yang membawa pelanggan seolah-olah berada di kompleks beli-belah di mana mereka perlu menjelajahi setiap kios bagi melihat jenis makanan yang ditawarkan,” katanya.
Rosmayudi berkata Food Valet ini juga dilengkapi dengan kemudahan asas seperti parkir yang luas untuk orang kurang upaya (OKU), kereta, motor, basikal dan bas, surau, tandas serta lobi untuk menghantar dan mengambil pengunjung.
“Di sini kita menampilkan konsep terbuka di mana pelanggan boleh menikmati hidangan sambil menghirup udara segar manakala di sebelah malam pula mereka akan dilimpahi dengan cahaya lampu yang memberi suasana makan sambil bersantai.
“Selain itu, kita juga menyediakan tiga bilik khas yang boleh disewa di sebelah atas buat pelanggan yang inginkan privasi bagi tujuan meraikan sambutan ulang tahun, mesyuarat, majlis pertunangan dan lain-lain.
“Pelbagai keraian boleh dilakukan di sini tambahan pula dengan persekitaran serta dekorasi di sini yang segar dan moden bersesuaian untuk apa-apa majlis,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Rosmayudi berkata Food Valet menawarkan pelbagai juadah makanan yang popular terdiri daripada menu tempatan dan luar negara.
“Antara makanan popular yang kita bawa masuk adalah Itik Salai Mashthar, Keycap, Sate Baung, API Pizza, Roti Wap dan Asam Pedas Cili Kampung.
“Di kawasan tengah pula akan ada peniaga yang menjual kuih-kuih tradisional sebagai pelengkap hidangan.
“Kita melibatkan seramai lebih 30 peniaga yang terdiri daripada warga Putrajaya dan juga mereka yang berada di sekitar ini,” ujarnya.
Melibatkan kos melebihi RM5 juta tidak termasuk kos penyelenggaraan, Rosmayudi berkata pihak persendirian ZR Binajaya dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara serta menjaga kawasan tersebut.
Melihat kepada trend peningkatan pelancong yang memasuki Putrajaya, Rosmayudi mengharapkan Food Valet turut menerima tempias tersebut sekali gus membuktikan pusat pentadbiran ini turut menawarkan destinasi makan terbaik seperti di negeri lain.
“Besar harapan kami agar Food Valet Putrajaya menjadi sebuah hab makanan popular sekali gus mempromosikan hasil jualan penduduk tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Semoga dengan seni bentuk yang lebih moden dan segar ini dapat menarik lebih ramai pelancong ke Putrajaya dan dalam masa sama dapat membantu peniaga mengembangkan ekonomi,” katanya. – WILAYAHKU
Info:
Lokasi: Presint 4 (bersebelahan Galeria PJH dan Kementerian Pengangkutan Malaysia)
Hari operasi: Isnin hingga Ahad
Waktu operasi: 11:00 pagi sehingga 12:00 tengah malam

