Fokus

Residensi MADANI beri sinar baharu

- Diterbit 25 November 2024 5:24 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa ini lebih ingin menumpukan kesejahteraan rakyat berbanding projek-projek pencakar langit.

Pegawai Tugas-Tugas Khas di Pejabat Perdana Menteri, Unit Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Tempatan, Bryan Lew berkata Perdana Menteri juga mahu memastikan rakyat terutama golongan B40 dan M40 mampu membeli rumah pertama mereka.

“Apa-apa projek mesti tumpu kepada kesejahteraan rakyat. Sekarang rakyat susah nak beli rumah sebab berbanding harga rumah seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) atau Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) lebih mahal iaitu RM300,000 ke RM350,000,” katanya.

Menurut Bryan rumah Residensi MADANI harganya RM200,000 dan keluasan 800 kaki persegi serta mampu dibeli oleh golongan B40 dan M40.

“Cari mana-mana rumah di Kuala Lumpur dan Putrajaya ada tak dapat harga RM200,000 dengan keluasan 800 kaki persegi.

“Kalau ada pun rumah studio. Kerajaan tumpu untuk kesejahteraan rakyat dan supaya golongan B40 dan M40 dapat beli rumah pertama mereka dengan senang,” katanya.

Sementara itu, Bryan berkata projek rumah mampu milik di Residensi MADANI terutama di Putrajaya juga membolehkan penjawat awam untuk membelinya.

“Mereka sudah lama kerja di situ dan kebanyakan tinggal di kuarters kerajaan atau Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Bukan tak nak galakkan mereka duduk kuarters atau PPR tetapi nak galakkan mereka senang dapat beli rumah.

“Manakala untuk mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, kebanyakan mereka duduk di Rawang dan Kajang. Jadi penat untuk ulang dan alik. Jadi jika membeli rumah Residensi MADANI Kuala Lumpur maka mereka dapat singkatkan masa perjalanan ke tempat kerja,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas