AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat pemberhentian sementara operasi sebuah lagi bas ekspres ekoran insiden remaja maut terkena renjatan elektrik dalam bas milik pengendali sama.
Kementerian Pengangkutan memberitahu, surat tersebut dikeluarkan pada 7 November lalu, seminggu selepas insiden berkenaan berlaku di Terminal Bas Penang Sentral.
Menurutnya, sebuah lagi bas yang dikesan itu turut mempunyai spesifikasi pendawaian elektrik yang sama dengan bas yang terlibat dalam kejadian pada 1 November itu.
“Pemberhentian sementara operasi bas berkenaan dilakukan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan pada 4 November lalu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam insiden pada pukul 7.30 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik.
Kejadian berlaku semasa mangsa mengecas telefon bimbitnya pada soket dalam bas ekspres terlibat.
Terdahulu Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan susulan insiden itu mendapati pendawaian elektrik pada bas tersebut adalah tidak teratur.
Sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket pula dipasang secara terbalik.
Kementerian Pengangkutan menambah, pihaknya melalui APAD juga telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pengendali bas ekspres berkenaan pada 4 November lepas.
Pada 5 November pula katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan siasatan dan pemeriksaan ke atas badan bas tersebut di Butterworth, Pulau Pinang.
“Siasatan ini turut disertai oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Pada 6 November, wakil daripada ST, JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan APAD turut melaksanakan pemeriksaan awal di premis syarikat pembuat bas terlibat di Beranang, Selangor.
“Laporan penyiasatan mengenai punca insiden telah disediakan oleh Pasukan Petugas Khas,” katanya.
Tambahnya, laporan penyiasatan penuh akan dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas kepada Kementerian Pengangkutan nanti.
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan berkata, APAD telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan surat pemakluman kepada semua pengendali bas pada 6 November lalu untuk menghentikan penggunaan semua soket elektrik 3-pin dalam bas dengan serta-merta.
Katanya, arahan itu berkuat kuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan yang baharu dikeluarkan.
“Bagi proses pelesenan, APAD juga mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada mengemukakan keputusan laporan atau sijil pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.
“Ia turut merangkumi pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan, contohnya kabel, soket alur
keluar, peranti arus baki dan lain-lain, yang digunakan oleh semua kenderaan perdagangan mempunyai pensijilan standard piawaian yang diiktiraf badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi Jabatan Standard Malaysia,” katanya.
Jelasnya, bagi mengelakkan sebarang risiko yang membahayakan keselamatan pengguna dan mencegah kejadian serupa berlaku, pihak kementerian telah menyusun langkah penambahbaikan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan yang lebih ketat dilaksanakan.
Katanya, langkah itu termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aspek pendawaian elektrik dan kelengkapan berkaitan dalam kenderaan. – WILAYAHKU