Berita

Remaja 13 tahun dinobat juara Cabaran Memancing KL 2024

DEIMAS (empat dari kanan) pada sesi penyampaian hadiah Cabaran Memancing KL 2024.
- Diterbit 25 November 2024 4:24 PM MYT

PELAJAR tingkatan satu, Deimas Ardaan Shah, 13, dinobat juara Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Airfour Classic yang di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.

Remaja yang berasal dari Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 selepas berjaya menaikkan seekor ikan patin seberat 16.725 kilogram (kg) kira-kira pukul 12.03 tengahari semalam.

Deimas menyifatkan tuah berpihak padanya yang menggunakan roti berperisa pandan sebelum disambar patin sekali gus memaksanya mengambil masa lebih 8 minit bagi menaikkan ikan tersebut.

Katanya, dia selalu mengikuti pertandingan memancing di tasik tasik ibu kota sejak dahulu lagi serta tidak pernah patah semangat walaupun acap kali kecundang sebelum ini.

“Ini rezeki saya dan wang kemenangan ini akan digunakan untuk membeli peralatan sekolah selain berkongsi dengan ayah yang sama-sama menyertai pertandingan memancing ini,” ujarnya.

Sementara itu, tempat kedua disandang oleh Muhammad Imaduddih Izzul Islam, yang membawa pulang RM2,000 dan Nor Akmal Hakim Mohd Tajuddin (RM1,000) selepas masing-masing menaikkan patin seberat 15.235 kg dan 14.960 kg.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Supian Zainuddin dan DX Fishing Tackle, Dixon Wong.

Dalam pada itu, Supian berkata, Cabaran memancing Kuala Lumpur diadakan bagi memberi manfaat kepada masyarakat melalui pertandingan memancing.

“Objektif utama menganjurkan pertandingan itu bagi menyokong usaha kerajaan mempromosi pelancongan dalam negara menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia yang didukung oleh Tourism Malaysia,” katanya.

“Saya sangat berpuas hati apabila acara ini mendapat sambutan yang sangat baik dan disertai oleh pelbagai bangsa dan usia begitu juga dengan kehadiran kaki pancing dari Perak, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur amnya.

“Malah, kehadiran kaki pancing luar Kuala Lumpur dapat menggalakan rakyat Malaysia melaksanakan aktiviti pelancongan domestik selain membantu merancakkan ekonomi pelancongan domestik negara terutamanya pertandingan memancing ini,” jelasnya.

Cabaran memancing Kuala Lumpur 2024 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 kepada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan.

Pertandingan yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang turut disokong Tourism Malaysia turut membantu dalam persediaan menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pertandingan itu menyaksikan sebanyak hampir 500 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan oleh peserta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas