Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Rekaan pakaian cantik tiada makna jika tidak bawa pulang emas

HAMIDIN perjelas isu seragam utama atlet Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
- Diterbit 25 Jun 2024 10:15 PM MYT

REKAAN yang cantik pada pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 tidak membawa sebarang erti, sekiranya mereka gagal menjelmakan kilauan emas sulung negara di Paris nanti.

Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tema utama pakaian rasmi yang dihasilkan menggunakan warna emas berbanding jingga sebelum ini bertujuan untuk membawa aura pingat yang menjadi idaman kontinjen negara pada temasya sukan berprestij dunia tersebut.

“Kita sudah setuju dengan pengeluar pakaian rasmi iaitu Yonex untuk tunjuk warna emas. Warna jingga sudah lama sejak 2004 lagi, jadi ramai atlet sebelum ini minta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tukar warna lain.

“MOM sudah sepakat dengan Yonex untuk tukar kepada warna emas kerana kita menyasarkan untuk menang pingat emas, itu sebenarnya tema dan Yonex juga berpendapat warna emas padan dengan warna hitam. Jika warna cantik tapi tidak dapat emas atau pingat tidak guna juga,” ujar beliau.

Hamidin juga menjelaskan penggunaan bendera Malaysia di sebelah kiri pakaian rasmi tersebut yang kurang tepat seperti dibangkitkan pengguna media sosial, sebenarnya merupakan logo rasmi MOM.

“Warna jingga, emas, hitam biru semua boleh, ini logo Majlis Olimpik Malaysia bukan bendera Malaysia, jadi tiada masalah,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden MOM berkata rata-rata atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik 2024 bersetuju dengan rekaan pakaian rasmi kontinjen negara di Paris.

Dengan berbaki hampir sebulan sebelum Paris 2004 dibuka secara rasmi pada 26 Julai ini, Hamidin berkata lebih baik sekiranya semua pihak termasuk orang ramai terus memberi sokongan padu kepada kontinjen negara, pada Sukan Olimpik kali ini.

Menyedari kritikan dilemparkan di media sosial berhubung rekaan pakaian rasmi tersebut, beliau berkata MOM mungkin membuka peluang buat orang ramai membuat rekaan mereka bagi edisi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

“Saya sudah hubungi Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan pada dasarnya beliau sudah setuju masa akan datang, kita buka pada peminat untuk reka pakaian rasmi kontinjen, kita akan pilih dan mungkin beri sagu hati,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kesilapan menggunakan patung mannequin bagi memperagakan pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 berupa baju berkolar, baju T dan jaket yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, pada Ahad.

Baru-baru ini, rata-rata peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan itu, yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas