Berita

Rejim zionis mesti bertanggungjawab atas semua jenayah perang dilakukan – Malaysia

Foto; AFP
- Diterbit 3 Disember 2024 11:17 AM MYT

MALAYSIA mengulangi sokongan dan komitmennya terhadap proses undang-undang antarabangsa untuk memastikan rejim zionis bertanggungjawab atas semua jenayah perang yang dilakukan di bumi Palestin.

Demikian ditegaskan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin ketika menzahirkan kenyataan Malaysia di Persidangan Kaherah Peringkat Menteri bagi menangani krisis kemanusiaan di Gaza akibat operasi berterusan tentera rejim.

Menurut beliau, apa yang dilakukan zionis adalah jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Untuk itu kami (Malaysia) menggesa komuniti antarabangsa untuk komited memastikan perkara ini (rejim zionis bertanggungjawab atas jenayah perang) dicapai,” katanya.

Persidangan itu dianjurkan secara bersama oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Ia menghimpunkan negara anggota PBB, wakil agensi di bawah naungan PBB, organisasi serantau dan antarabangsa serta badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil bagi menangani krisis kemanusiaan di Gaza akibat operasi ketenteraan rejim zionis.

Mohamad berkata, situasi semasa di Gaza adalah ujian kepada kemanusiaan secara kolektif yang memerlukan usaha semua pihak menamatkannya.

“Ketika kita meninggalkan persidangan ini, kita tidak hanya membawa janji dan resolusi tetapi tindakan baharu untuk menamatkan penderitaan dan tragedi kemanusiaan ini,” tegasnya.

Beliau menambah, Malaysia mengalu-alukan pelaksanaan gencatan senjata di Lubnan dan akan berterusan memperjuangkannya juga di Gaza selain penghantaran bantuan tanpa halangan dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dihormati.

Katanya, tindakan menyelesaikan punca-punca utama konflik kekal menjadi keutamaan.

Ini katanya, termasuk menamatkan pendudukan haram di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT) selaras dengan Resolusi PBB ES-10/24 dan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 19 Julai lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas