AINI MAWAWI & SERIMAH SALLEHUDDIN
AJAL‚ maut, jodoh dan pertemuan semuanya menjadi rahsia yang telah ditentukan oleh Yang Maha Pencipta.
Namun tatkala diuji dengan kehilangan dan dugaan, sudah pasti perasaan pilu akan terus menghimpit lebih-lebih lagi di saat menjelangnya Syawal.
Memahami keperitan itu, Wilayahku sempat berkongsi kisah duka bersama mereka yang berendam air mata mengenang insan tersayang yang telah pergi dijemput Ilahi.
Begitu juga nasib mereka yang berkorban jiwa raga demi memastikan Aidilfitri ini cukup bermakna.
Zahra kini ‘ketua keluarga’
“JAGA adik,” itu ungkapan yang akan sentiasa diingati oleh Nur Iman Zahra Muhammad Basir, 15.
Di usia yang masih muda, anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini terpaksa menerima hakikat bahawa dia kini bergelar yatim piatu dalam sekelip mata.
Lebih memeritkan, sebelum kehilangan bapa pada Februari lalu kerana komplikasi jantung, dia diuji dengan pemergian ibu, Noor Azlina Jaafar pada Oktober 2023 disebabkan jangkitan kuman pada hati.

Tamparan hebat itu harus diterima biarpun amat perit kerana dia sedar, jika terus lemah bagaimana pula dengan nasib dua orang adiknya, Nur Iman Damia, 13, dan Muhammad Daniel Iman, 10, yang sangat memerlukannya.
Berkongsi kisah sedih itu, Zahra berkata sejak dimasukkan ke wad, bapanya tidak henti-henti berpesan supaya dia menjaga kedua-dua orang adiknya.
“Sebelum sakit lagi abah memang selalu pesan jaga adik, masa dia dalam wad pun nasihat yang sama lagipun arwah tak boleh banyak bercakap sebab keadaan kesihatan dia.
“Kalau nak cakap tentang perasaan, saya memang sedih sangat-sangat sebab tak sangka dua-dua dah tiada tapi saya kena reda sebab saya fikir kalau mereka ada, mesti abah dan ibu tak nak tengok saya sedih,” katanya.
Bercerita lanjut, dia berkata sejak kehilangan ibu, arwah bapanya sentiasa bersedih dan kerap termenung kerana merindui ibunya.
“Abah banyak sedih, depan kami, dia pesan jangan sedih tapi bila saya tengok, dia selalu turun ke tingkat bawah dan menangis tengok baju dan gambar ibu. Tambah lagi beberapa bulan selepas ibu meninggal dunia, kawan baik dia pula menyusul.
“Apapun saya terima ini semua dah takdir, saya kena kuat biarpun saya dan adik-adik sangat rindukan abah dan ibu lebih-lebih lagi setiap kali nak berbuka puasa, biasanya ibu akan masak makanan kegemaran kami, ayam kurma,” jelasnya sebak.

Tambah Zahra ingatannya pada kedua-duanya semakin mencengkam menjelang Aidilfitri memandangkan kebiasaannya mereka sekeluarga tidak sabar menikmati hidangan mi rebus hasil air tangan ibunya.
“Mi rebus ibu memang special, kalau ibu masak dekat kampung semua orang tak sabar nak makan. Pakcik dan makcik saya kata, hanya ibu sahaja yang boleh masak sama rasanya dengan atuk.
“Tahun ini dah masuk tahun kedua kami tak makan mi rebus. Saya dan adik-adik rindu sangat semua suasana di rumah, di kampung dan apa-apa sahaja tentang ibu dan abah,” katanya sambil menyapu air mata.
Katanya untuk meneruskan kehidupan, dia kini berada di bawah jagaan adik kepada arwah bapanya, Siti Salha Abu Bakar, 42, di Seri Kembangan.
“Saya yang pilih untuk duduk dengan mak ngah, lagipun dekat sini semua mudah, sekolah pun dekat. Tambah pula adik saya yang kedua, Damia perlu berulang-alik ke hospital kerana dia ada masalah jantung,” katanya. – WILAYAHKU