PRESIDEN Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 10 hingga 11 Februari ini atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Wisma Putra, ia mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang terus berkembang berasaskan hubungan yang telah lama terjalin, terutamanya selepas penaiktarafan ke Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.
Jelssnya, pada 11 Februari, Erdogan akan diraikan dalam satu Istiadat Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti dengan mesyuarat dengan Perdana Menteri.
“Kedua-dua pihak dijangka meneliti kemajuan hubungan CSP di antara Malaysia dan Turkiye, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, halal, kerjasama dalam bidang tenaga, pengurusan bencana, kesihatan, sains dan teknologi dan kesalinghubungan.
“Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, penganjuran Forum Diplomasi Antalya 2025 buat kali ke-4 oleh Turkiye, Islamofobia dan perjanjian gencatan senjata terkini di Gaza,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pqda Ahad.
Wisma Putra menambah, kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman, Perjanjian dan Nota sebelum mengadakan sidang akhbar bersama.
Katanya, satu jamuan tengah hari yang dihos oleh Perdana Menteri bagi meraikan Presiden Turkiye itu juga akan diadakan di Kompleks Seri Perdana.
Selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia komited untuk mengukuhkan integrasi serantau dan menjalin kerjasama melangkaui rantau ini, manakala Turkiye, sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN, berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam memajukan keutamaan ekonomi ASEAN.
Turkiye menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada 2017, dengan bidang kerjasama praktikal antara ASEAN-Turkiye (2024-2028) berfungsi sebagai kerangka untuk kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan destinasi import keempat terbesar dari rantau Asia Barat.
Pada tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dengan Turkiye meningkat sebanyak 18.7% kepada RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion) dari tahun sebelumnya. – WILAYAHKU