Berita

Rebut gelaran Lake Warrior 2024

- Diterbit 19 Februari 2024 4:30 PM MYT

ORANG ramai dijemput untuk menyertai acara Putrajaya Lake and Wetland (PLW) Explorace 2024 yang diadakan di Padang Semarak, Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya pada 2 Mac ini.

Peserta terlibat bakal berentap dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi merebut gelaran Lake Warrior 2024.

Program edisi ke-11 yang dianjurkan oleh pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan daripada UNESCO-IHP Malaysia di bawah Jawatankuasa Pendidikan, Latihan dan Penerangan Awam itu diadakan bertujuan untuk memberi pengetahuan serta kefahaman yang lebih mendalam kepada orang awam khususnya generasi muda berhubung Tasik dan Wetland Putrajaya.

Di samping itu, ia dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan keprihatinan bagi melindungi dan menjaga sumber air bersih serta kepelbagaian biologi akuatik melalui pengurusan secara mapan dalam menghadapi cabaran pengurusan sumber air yang semakin kompleks.

Dalam masa sama, acara tersebut juga dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta mewujudkan rasa kekitaan dalam kalangan peserta bersama-sama dengan PPj dalam menguruskan Tasik dan Wetland Putrajaya.

Peserta perlu melalui perjalanan sejauh 15 kilometer (km) dan melaksanakan 15 tugasan bagi melengkapkan cabaran termasuklah aktiviti lake crossing di Central Wetland dan cabaran fear factor yang bermula seawal pukul 7 pagi hingga 5 petang. Setiap pasukan wajib melalui semua checkpoint dengan menyelesaikan semua tugasan yang diberikan.

Reka bentuk tugasan yang disediakan dalam cabaran tersebut turut memberi peluang kepada peserta untuk lebih mengenali spesies burung, ikan, tumbuhan, serangga, meneliti kualiti air dan sebagainya.

Bagi setiap kategori, pemenang tempat pertama akan dianugerahkan gelaran Lake Warrior 2024 selain membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 manakala tempat kedua mendapat RM2,000, tempat ketiga menerima RM1,000 dan RM200 untuk tempat keempat sehingga ke-20 yang mana masing-­masing akan membawa pulang sijil dan medal.

Selain itu, hadiah wang tunai sebanyak RM300 bagi pasukan lelaki, wanita dan campuran terbaik turut disediakan.

Lebih menarik, peserta bertuah juga bakal menerima hadiah cabutan bertuah berbentuk barangan dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah melebihi RM5,000.

Bagi mereka yang berminat untuk mendaftar dan ingin mengetahui maklumat lanjut, boleh imbas kod QR yang tertera atau layari laman sesawang https://shorturl.at/iFKN0. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 23 Februari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas