Oleh AZLAN ZAMBRY
azlanwilayahku@gmail.com
KUALA LUMPUR – Syarikat penyedia pakej pelancongan Raza Holidays Sdn. Bhd. menyasarkan jualan RM6 juta berdasarkan beberapa pakej umrah baharu yang diperkenalkan.
Pengarah Eksekutifnya, Anuwar Ridza Mohd Zahari berkata, syarikat tersebut kini memberi fokus kepada 12 pakej umrah seperti yang diumumkan.
“Kami mempunyai beberapa pakej umrah yang boleh menarik jemaah baru untuk merasai pengalaman beribadah melalui syarikat kami.
“Malahan kami mempunyai rekod cemerlang sejak 2014 dan berjaya memuaskan hati para jemaah yang telah menggunakan perkhidmatan kami” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Menurut Anuwar Ridza lagi, pihaknya telah berjaya menguruskan lebih 3,000 jemaah sejak 2014.
“Kami menyasarkan seramai 1,000 jemaah akan menggunakan perkhidmatan Raza Holidays menjelang tahun berakhir 2019.
Kata Anuwar Ridza lagi, pihaknya telah memperkenalkan Pakej Anjum, berharga RM6,990 untuk seorang jemaah.
“Pakej ini merupakan pakej premium dengan setiap jemaah yang mendaftar layak mendapat rebat RM1,000 seorang yang akan diberikan semasa di lapangan terbang secara tunai,” katanya.
Selain itu, pihak Raza Holidays turut mempunyai pakej serendah RM3,990 sehingga RM 16,900.
“Kesemua pakej yang ditawarkan itu mempunyai keistimewaan masing-masing dan pihak Raza Holidays akan memastikan keselesaan para jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Malahan, pihak syarikat turut menyediakan pengangkutan untuk jemaah ke KLIA,” katanya.
Menurut Anuwar Ridza lagi, pihaknya kini menggiatkan lagi aktiviti pemasaran mengenai pakej-pakej yang sedia ada termasuk pembangunan ejen-ejen pelancongan.
“Aktiviti peemasaran juga termasuk melalui medium atas talian yang akan digunakan sepenuhnya memandangkan capaian internet hampir seluruh tempat di Malaysia.
“Selain itu, kami turut menyertai pameran yang disediakan oleh Matta dan agensi-agensi yang berkaitan untuk memasarkan produk-produk syarikat,” katanya.
Menurut Anuwar Ridza lagi, pihaknya kini sedang giat memasarkan pakej In-Bound dan Out-bound.
“Kami juga sedang meneroka tempat pelancongan baru di Shenzen, China kepada pelancong-pelancong tempatan.
“Selain Shenzen, kami turut menyediakan pakej pelancongan ke Kazakhstan pada tahun ini,” katanya.