Oleh SYUQQREE DAIN
FLORIA Diraja Putrajaya (FRP) kembali lagi tahun ini dengan lebih gemilang‚ membawa keharuman ribuan bunga-bungaan dan memukau para pengunjung dari serata dunia.
Berlangsung dari 22 Ogos hingga 1 September 2024‚ festival bunga-bungaan dan taman yang diadakan di Persisiran Tasik‚ Presint 2‚ Putrajaya ini menjadi acara dwitahunan yang paling dinantikan oleh pencinta alam dan landskap.
Bagi penganjuran kali ini‚ FRP 2024 telah mengangkat bunga Petunia sebagai bunga tema kerana keunikan struktur pertumbuhan‚ keindahan warna kelopak bunganya yang cantik dan menjurai dapat menyuntik elemen estetika seumpama menerangi dan menceriakan suasana tapak pameran untuk para pengunjung menikmatinya.
Komponen utama bagi FRP 2024 adalah pameran taman dengan penyertaan lebih daripada 30 jabatan dan agensi kerajaan termasuk PPj sendiri‚ agensi korporat dan swasta‚ persatuan dan pengusaha bunga serta sekolah dan institusi pengajian tinggi yang bakal mengetengahkan gabungan idea segar‚ teknik tersendiri serta reka bentuk unik dalam seni pameran taman.
Dalam masa sama‚ Raja Permaisuri Agong‚ Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Floria Diraja Putrajaya 2024 serta melawat tapak festival yang mempamerkan pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.