Berita

Rasuah RM30,000: SPRM sita Ford Mustang, motosikal berkuasa tinggi

- Diterbit 4 Oktober 2024 8:51 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman seorang penjaga jentera elektrik kerana disyaki meminta wang rasuah RM30,000 sebagai balasan bagi mendapatkan kerja perkhidmatan pembaikan sivil di tempat dirinya bekerja.

Majistret Mohamad Azlan Basri membenarkan suspek direman selama enam hari sehingga 9 Oktober 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang, hari ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga bertindak selaku penguasa projek di institut tempatnya bekerja telah meminta wang rasuah berkenaan daripada seorang pengurus syarikat yang mendapat kerja perkhidmatan pembaikan sivil bangunan di institut terbabit.

“Suspek telah meminta pengurus syarikat berkenaan untuk memberikan wang sebanyak RM30,000 secara tunai kepadanya dalam satu perbualan telefon.

“Wang itu sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan pembaikan sivil bangunan secara one-off berjumlah hampir setengah juta,” katanya.

Sumber berkata, suspek kemudian telah ditahan dalam satu operasi dijalankan oleh SPRM Pulau Pinang di sekitar Penaga kira-kira jam 8 malam semalam.

Katanya, susulan itu juga, SPRM Pulau Pinang menyita sebuah Kereta Ford Mustang GT Auto yang dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000, satu unit Motorsikal BMW R1200 GS Adventure dianggarkan bernilai kira-kira RM72,000, satu unit Motorsikal Kawasaki 1400 GTR, anggaran harga RM40,000 dan sejumlah barang kemas bernilai kira-kira RM7,000.

Menerusi siasatan dijalankan, kesemua kenderaan dan barang kemas berkenaan dipercayai dibeli menggunakan wang rasuah yang diterima daripada kontraktor-kontraktor yang membuat projek di institut tersebut.

Sementara itu Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas