Berita

Rasuah pinjaman peribadi: SPRM tahan reman lima lagi individu

- Diterbit 21 Januari 2025 6:23 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima lagi individu melibatkan lima pegawai institusi perbankan disyaki menerima rasuah sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi yang dikemukakan sebuah syarikat perunding kewangan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 25 Januari terhadap empat suspek, dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an, manakala seorang lagi suspek lelaki yang berusia 30-an direman selama tiga hari sehingga 23 Januari.

Kesemua perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, kelima-lima suspek ini ditahan antara pukul 3 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai institusi perbankan yang telah membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.

“Pegawai-pegawai ini dipercayai menerima rasuah daripada syarikat perunding kewangan yang bertindak menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi,: katanya.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap lima lagi supek berkenaan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Katanya, 16 individu yang sebelum ini ditahan reman telah dibebaskan dengan jaminan SPRM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas