Berita

‘Rasa seperti orang menguruskan jenazah sendiri’… Syafiq Kyle dedah kisah kemalangan tidak sedarkan diri

- Diterbit 8 Januari 2025 3:18 PM MYT

AKTOR kacak Syafiq Kyle mendedahkan dirinya pernah terlibat dalam kemalangan sehingga hampir meragut nyawa.

Mengimbas semula kejadian itu, Syafiq atau nama lengkap Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 33, berkata, insiden tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan menuju ke universiti.

Menurutnya, motor yang ditunggang terlanggar sebiji batu besar di tengah jalan sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Saya pernah kemalangan ketika umur 20 tahun dan waktu itu baru masuk Hero Remaja. Sehingga saya terpaksa dikecualikan dalam pertandingan tersebut, malam final sahaja saya hadir.

“Tapi saya ada buat tugasan yang telah ditetapkan juga dalam program itu. Alhamdulillah, rezeki dapat tempat kedua.

“Dulu saya menunggang motor scrambler jenis yang tinggi. Pada satu hari, lebih kurang tengah hari, saya guna untuk pergi kelas, dari rumah di Cheras ke UiTM Puncak Perdana.

“Ada satu hari, saya bawa motor tiba-tiba nampak ada satu besar atas jalan, macam batu sungai. Saya langgar batu itu kemudian terus jatuh dan tak ingat apa dah. Saya fikir sudah mati.

“Kiranya batu sungai itu yang terakhir saya tengok selepas tak sedarkan diri.

“Saya luka teruk dan jika lihat di tangan serta dahi, masih ada parut sampai sekarang. Helmet saya pecah waktu itu. Motor pun total lost,” katanya.

Syafiq berkongsi mengenai perkara itu menerusi saluran podcast Sembang Seram yang dikendalikan oleh Safwan Nazri.

Merasakan seperti tiada harapan untuk hidup, Syafiq bagaimanapun bersyukur apabila dia tersedar selepas nama dipanggil oleh ibunya.

Syafiq juga pernah berfikir dia meninggal dunia dan ada orang menguruskan Jenazahnya.

“Saya tak pasti waktu itu, kalau kita mati kita tak sedar. Apabila mati kita terbangun dan tengok kita sendiri yang sudah mati.

“Selepas itu ada orang uruskan mayat kita, saya ingat saya alami situasi itu,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas