Berita

Rapid KL On-Demand beroperasi di PPS Masjid Putra Heights

- Diterbit 3 April 2025 1:14 PM MYT

RAPID KL On-Demand (ROD) kini beroperasi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights sebagai van perantara percuma untuk membantu ketua keluarga kembali ke kediaman mereka bagi mengambil barangan peribadi dengan kelulusan pihak berkuasa.

Perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Prasarana Prihatin yang bertujuan meringankan beban mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di kawasan Putra Heights. Kebakaran yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS sementara, meninggalkan rumah mereka dalam keadaan tergesa-gesa.

Menurut kenyataan rasmi, enam van ROD disediakan untuk perkhidmatan ini, yang beroperasi antara PPS Masjid Putra Heights dan kawasan kediaman terjejas seperti Kampung Puchong Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru. Selain itu, pegawai kawalan trafik dan polis bantuan turut ditempatkan di lokasi utama bagi memastikan kelancaran operasi.

Inisiatif ini mendapat kerjasama erat daripada Pejabat Daerah Petaling bagi memastikan keperluan mobiliti mangsa dipenuhi. Perkhidmatan ini juga membantu mangsa mendapatkan dokumen penting dan barangan keperluan dari rumah mereka.

Sementara itu, beberapa pihak lain turut tampil memberikan sokongan. Syarikat automotif Chery telah menyediakan 50 kereta untuk kegunaan sementara mangsa, manakala Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berjanji mempercepatkan tuntutan insurans bagi kenderaan dan harta benda yang terjejas.

Perkhidmatan van ROD ini dijangka beroperasi sehingga keadaan kembali stabil dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas