KEMENTERIAN Ekonomi telah membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (National Ageing Blueprint) bagi membantu Malaysia menghadapi isu negara menua secara holistik.
Menurutnya, rangka tindakan ini merangkumi perancangan dasar, rangka kerja dan pelan tindakan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Rangka tindakan ini akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada awal tahun 2025 untuk dimuktamadkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara semalam.
Kementerian berkata Malaysia kini menghadapi peralihan demografi yang ketara akibat penuaan populasi berikutan pada tahun 2021, Malaysia telah dikategorikan sebagai negara menua (ageing nation) apabila 7.0 peratus penduduknegara ini berumur 65 tahun dan ke atas.
“Peratusan populasi ini dijangka akan menjadi dua kali ganda dalam tempoh 21 tahun akan datang dan menyebabkan Malaysia menjadi negara tua (aged nation) pada tahun 2043,” katanya.
Katanya, perancangan masa depan negara bagi menangani cabaran penuaan negara ini perlu diberi penumpuan oleh semua pihak bagi memastikan semua pihak bersedia untuk menghadapinya.
“Justeru itu, strategi dan tindakan yang bersepadu sedang digembleng bagi menangani cabaran ini secara holistik. Cabaran ini dalam bidang guna tenaga dan produktiviti tenaga buruh, kesihatan, pendidikan, kewangan, ekonomi penjagaan dan perlindungan sosial,” katanya.
Menurut Kementerian, pada masa ini Kerajaan sedang merangka pelan tindakan jangka sederhana melalui penyediaan dokumen Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026-2030.
“RMK13 ini akan turut memberi keutamaan kepada cabaran dan peluang untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mencapai kesejahteraan rakyat, termasuk dalam menghadapi cabaran negara menua dan negara tua menjelang tahun 2043.
“Hasrat Kerajaan adalah agar semua rakyat Malaysia akan meniti usia emas dengan bermaruah dan terus menyumbang kepada negara,” katanya.
Ujar kementerian, kerajaan optimis berhubung persediaan yang dilaksanakan ketika ini dapat memandu negara untuk menangani dan mendepani cabaran negara tua dengan berkesan.
“Untuk itu juga, Kerajaan menyeru semua pihak, termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat agar dapat menggembleng tenaga bersama serta memanfaatkan peluang perubahan demografi bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. – WILAYAHKU