Berita

Rancangan Sktruktur Putrajaya 2025: Tingkat kualiti ekologi

WETLAND antara komponen penting dalam pembangunan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
- Diterbit 13 Januari 2025 2:12 PM MYT

PUTRAJAYA adalah sebuah bandar terancang dan dibina untuk menghadapi cabaran alaf baru. Ia sebuah bandar dalam taman yang melihat kepada alam sebagai inspirasi, menghasilkan sebuah landskap yang dipengaruhi oleh keindahan Tasik Putrajaya.

Justeru, inisiatif untuk meningkatkan kualiti ekologi, badan air dan biodiversiti Putrajaya diberi perhatian utama ke arah pencapaian Polisi 5, Rancangan Struktur Putrajaya 2025 di bawah transformasi ke arah bandar hijau Putrajaya.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland, Normaliza Noordin, kualiti air tasik yang tinggi adalah salah satu faktor terpenting untuk membuahkan hiasan yang cantik dan satu lagi unsur yang menjadi anugerah alam ialah dengan pembinaan Wetland Putrajaya.

“Wetland merupakan aset penting dalam menyumbang kepada penambahbaikan kepelbagaian diversiti dan kesihatan ekosistem perbandaran Putrajaya secara keseluruhan.

“Sebanyak 27 spesies tumbuhan wetland ditanam sebagai agen pembersih, menyaring dan meningkatkan kualiti air larian permukaan sebelum ia dialirkan ke Tasik Putrajaya.

“Selain itu, tasik dan wetland sehingga kini telah menjadi habitat semula jadi kepada lebih 250 spesies burung dan lain-lain terrestrial fauna seperti mamalia, reptilia dan serangga,” katanya.

Beliau berkata, Tasik dan Wetland Putrajaya telah melalui proses evolusi menjadikannya sebuah ekosistem badan air perbandaran yang matang dan seimbang.

“Pada tahun 2025, Tasik Putrajaya telah berusia 23 tahun manakala Wetland pula menjangkau usia 27 tahun.

“Selain objektif pembangunannya sebagai pusat sukan dan rekreasi air yang unggul, lokasi tersebut turut menjadi pilihan pelancong serta ikon gaya hidup yang sihat dengan penduduk memanfaatkan fasiliti sisiran tasik yang disediakan untuk aktiviti riadah, joging dan berbasikal.

“Oleh itu, aspek pengurusan bersepadu perlu dilaksanakan secara berkesan bagi memperkasakan pencapaian output dan outcome menepati objektif pembangunan tasik secara jangka panjang.

“Selain itu, keperluan kerja harian dan berkala, pemantauan (monitoring) mendapatkan data serta tindakan pengurusan (management measures) perlu dilaksanakan secara sistematik.

“Seterusnya, penyelenggaraan tumbuhan wetland harus dilaksanakan dengan cekap agar berfungsi baik untuk menyaring mendakan, menyerap nutrien berlebihan, menambah kandungan oksigen terlarut dan sebagainya melalui beberapa proses fizikal dan biokimia yang kompleks.

“Ia termasuk penyelenggaraan tumbuhan wetland iaitu kerja penuaian (harvesting) serta penanaman semula (replanting),” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata pembinaan wetland menyerlahkan pembangunan yang mampan di mana ekosistem unik dalam kawasan bandar sebagai rawatan air larian permukaan.

“Di samping membantu dalam tebatan banjir, wetland berperanan penting menyediakan tempat pembiakan, nurseri dan habitat kepada pelbagai flora dan fauna selain mewujudkan persekitaran yang kondusif buat penduduk untuk menginap, bekerja dan bermain.

“Ini hanya boleh dilakukan melalui usaha perancangan strategik dalam melaksanakan konsep pengurusan ekohidrologi dalam menguruskan kawasan tadahan Tasik dan Wetland Putrajaya secara bersepadu,” katanya.

Tambah beliau, aspek pengurusan bersepadu Tasik dan Wetland Putrajaya yang melibatkan pelbagai program dengan pihak awam untuk  menyemai sifat sense of belonging, kajian saintifik dan penyelidikan bagi tujuan penambahbaikan ekosistem perlu dilaksanakan secara berterusan.

la juga selaras dengan usaha memperkukuhkan kedudukan Tasik dan Wetland Putrajaya yang telah diiktiraf sebagai tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO-Intergovernmental Hydrological Programme sejak tahun 2010 serta tapak rujukan pengurusan badan air oleh International Lake Environment Committee Foundation (ILEC) yang berpusat di Universiti Shiga, Jepun dengan konsep Integrated Lake Basin Management. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas