Biz

Rancang pusat sehenti tudung

- Diterbit 3 Disember 2024 4:11 PM MYT

KETIKA mula menjinakkan diri dalam bidang perniagaan 11 tahun lalu‚ hasrat hatinya hanya satu iaitu ingin mengajar kanak-kanak menutup aurat sedari usia kecil agar tidak kekok apabila besar nanti.

Bertitik tolak daripada itu‚ pengusaha tudung‚ Syahruddin Zainul mengambil kesempatan memulakan perniagaan tudung kanak-kanak dengan menyewa lot kedai kecil di hentian bas di Damansara Damai.

Selain memenuhi tuntutan Islam‚ ketika itu dia melihat tidak ramai usahawan yang membekalkan tudung kanak-kanak.

Namun pada tahun 2016‚ dia mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada penghasilan tudung sekolah yang diberi nama TudungSiComel.

“Kekal dengan prinsip untuk mengajar anak kecil menutup aurat‚ hasrat kita ketika itu juga ingin memastikan pelajar memakai tudung sekolah yang selesa dan kemas agar dapat menumpukan lebih perhatian di dalam bilik darjah.

“Alhamdulillah‚ niat yang baik dipermudahkan urusan oleh Allah SWT apabila syarikat serta produk TudungSiComel mendapat pengiktirafan pada tahun 2022.

“Antara misi yang menjadi pegangan kita adalah untuk menghasil serta membekalkan semua jenis variasi tudung sekolah yang kemas dan selesa.

“Dalam masa sama‚ kita juga berhasrat muncul sebagai pusat sehenti untuk pembelian semua jenis tudung sekolah yang diperlukan di Malaysia‚” ujarnya.

Berbicara lanjut tentang cabaran yang dilalui‚ Syahruddin mengakui‚ dia turut berdepan saingan hebat dalam pemasaran di platform dalam talian.

“Kita akui‚ pembeli sekarang lebih memilih untuk membeli secara dalam talian‚ jadi saingan dari segi harga memang berlaku. Namun‚ saya sedar jika kita bersaing dari segi harga‚ mungkin takkan berjaya.

“Jadi‚ apa yang kita pentingkan adalah dari segi kualiti. Jika diikutkan‚ material lycra Korea original agak mahal berbanding lycra Korea tiruan‚ namun kita tetap memilih lycra original kerana keselesaan anak-anak di sekolah menjadi keutamaan.

“Disebabkan itu juga‚ setiap produk yang dihasilkan didatangkan dengan jaminan istimewa 180 hari‚ sekiranya ada sebarang masalah atau pelanggan tidak berpuas hati‚ ia boleh dipulangkan atau ditukar.

“Apa yang penting‚ rezeki yang kami terima adalah hasil daripada senyuman semua pelanggan‚ mudah-mudahan ia halal dan berkat‚” ujarnya.

Berpegang kepada prinsip di setiap rezeki yang Allah berikan kepada kita‚ terdapat rezeki orang lain‚ Syahruddin turut membantu melahirkan usahawan yang terdiri daripada golongan suri rumah.

“Sekurang-kurangnya ia membolehkan mereka menampung keperluan ekonomi keluarga. Kita yakin bahawa suri rumah juga mampu untuk menjana pendapatan lumayan walaupun hanya berada di rumah.

“Selain itu‚ TudungSiComel juga menyediakan program latihan khas untuk suri rumah yang ingin menjana pendapatan dari rumah sambil melihat anak-anak membesar di hadapan mata antaranya silibus latihan khas terutama untuk subjek pemasaran dalam talian yang dikongsikan kepada wakil-wakil jualan yang mendaftar‚” ujarnya.

Mengulas lanjut‚ beliau bersyukur apabila turut menerima sokongan dan bantuan pelbagai agensi kerajaan antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang membantu dari segi sokongan dana Geran Digital pada tahun 2023 selain menyewa premis yang disediakan oleh MARA di Damansara Damai. – WILAYAHKU

SYAHRUDDIN fokus dalam memastikan pelajar memakai tudung sekolah yang selesa dan kemas.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas