Berita

Rancang bajet kewangan, elak pembaziran

- Diterbit 6 Mac 2025 3:25 PM MYT

UMAT Islam dinasihatkan supaya merancang bajet kewangan dengan baik bagi mengelakkan pembaziran makanan pada Ramadan tahun ini dan akan datang.

Pendakwah, Abdul Halim Abdul Hafidz atau dikenali sebagai Ustaz Halim mencadangkan setiap individu mengehadkan perbelanjaan harian mereka seperti RM15 sehari untuk membeli makanan.

ABDUL HALIM

Katanya jika sebelum ini belanja makanan sebanyak RM500, sepatutnya perbelanjaan pada Ramadan itu tidak melebihi daripada hari biasa.

“Katakan kita nak belanja makan untuk 30 hari pada Ramadan dan pendapatan orang itu RM5,000. Jumlah untuk tempoh 30 hari jangan berlebihan. Biasa belanja RM500 bila Ramadan lebih pula. Kena ada had. Sekali pergi bazar Ramadan mungkin belanja hadkan RM15 sehari. Kalau lebih, berhenti beli dulu.

“Kalau ada benda lain nak beli, fikirkan esok pula. Sebab bila lapar nafsu membeli kuat,” katanya.

Menurut Halim cara lain untuk elak pembaziran juga adalah mesti mengetahui siapa pihak yang akan memakan juadah dibeli.

Beliau berkata kadang-kadang makanan berlebihan kerana membeli menu juadah yang sama antara dalam satu keluarga.

“Kadang-kadang isteri balik kerja singgah dan masing-masing iaitu suami juga beli menu sama. Jadi bertembung beli menu juadah puasa, jadi rugi,” katanya.

Dalam pada itu Halim berkata cara lain untuk elak pembaziran melalui kaedah dengan membuat peruntukan nisbah infaq.

Katanya, seperti setiap pembelian RM10 makanan, mesti infaq RM3.

“Jadi ini salah satu cara nak kawal daripada berbelanja berlebihan. Jika belanja lebih RM10 jadi perlu infaq lebih RM3,” katanya.

Sementara itu Halim berkata orang yang membazir itu merupakan saudara kepada syaitan.

Beliau berkata bulan Ramadan adalah masa untuk dekatkan diri kepada Allah SWT.

Jelasnya, tujuan berpuasa adalah untuk menginsafi orang susah dan miskin.

“Tiba-tiba bila buka puasa kita bermewah. Makan banyak-banyak. Semasa puasa kita bagus hayati orang miskin. Tetapi apabila waktu makan benda itu tak tepati dan menjadi rosak,” katanya.

Halim juga meminta umat Islam menghayati Surah Al Isra’ ayat 33.

“Pembaziran adalah saudara syaitan. Sia-sia puasa tetapi akhirnya menjadi saudara syaitan. Perlu fahami falsafah puasa yang bertujuan mendidik nafsu dan merasai sebagai orang miskin,” katanya.

Menurut Halim juga bagi badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memberi bantuan makanan kepada gelandangan atau anak yatim juga perlu merancang supaya tidak bertembung beramai-ramai dalam satu masa.

Katanya jika merancang waktu dan hari, bantuan makanan itu dapat dielakkan daripada berlaku pembaziran.

“Jangan berlaku pertembungan. Semua nak bagi dan akhirnya membazir. Perlu tempah masa dan hari. Perlu pastikan tidak bertembung untuk memberi bantuan kepada anak yatim atau orang susah seperti gelandangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas