Berita

Rancang atasi kesesakan

ZALIHA MUSTAFA
- Diterbit 1 Mac 2025 10:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat konsesi lebuh raya merangka beberapa langkah drastik menangani kesesakan kritikal di Jalan Tun Razak.

Ini berikutan purata 4,000 kenderaan sejam melalui jalan tersebut menerusi Data Trafik dari Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan segera diambil termasuk menambah baik aliran trafik di beberapa persimpangan utama serta membina laluan alternatif bagi mengurangkan beban di Jalan Tun Razak.

“Kenderaan dari Jalan Ampang, Jalan Pahang, Jalan Sungai Besi dan Jalan Bukit Bintang semuanya bertumpu ke Jalan Tun Razak untuk meneruskan perjalanan ke Setapak, Jalan Kuching dan Lebuhraya Sultan Iskandar menyebabkan kesesakan serius,” katanya di Dewan Rakyat.

Menurut Zaliha antara langkah yang telah dan sedang diambil oleh pihak berkuasa termasuk penambahbaikan aliran trafik di persimpangan kritikal seperti Jalan Pahang-Jalan Tun Razak-Jalan Pekeliling Lama (Hub Titiwangsa), pertembungan Jalan Tun Razak (hadapan IJN) serta persimpangan Jalan Tun Razak-Bulatan Jalan Pahang.

“Selain itu, kerajaan merancang untuk melebarkan Jambatan Jalan Tun Razak-Lebuhraya Sultan Iskandar bagi menambah lorong dan melancarkan aliran kenderaan dan pembinaan susur terus ke Lebuhraya DUKE 2 dari Jalan Tun Razak tanpa perlu melalui Bulatan Pahang, yang sering menjadi punca utama kesesakan,” katanya.

Jelasnya selain tindakan segera, DBKL menjalankan kajian kesesakan trafik di Jalan Tun Razak dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

“Data trafik dikumpulkan dan cadangan penambahbaikan akan diperincikan sebelum dilaksanakan bagi memastikan langkah yang diambil benar-benar berkesan.

“Pendekatan menyeluruh ini diharap dapat mengurangkan kesesakan di kawasan strategik ini, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya terutama pesakit dan pengunjung ke IJN serta HKL,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas