TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM100 juta melalui TEKUN Nasional untuk memperkasakan dan memperkukuhkan lagi agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India.
Beliau berkata ini merupakan satu lagi langkah strategik selari dengan visi besar kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sentiasa komited untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih inklusif dan progresif.
“Peruntukan besar ini dijangka membawa manfaat langsung kepada lebih 4,500 usahawan masyarakat India, membuka pintu peluang untuk mereka terus berkembang maju dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar,” katanya.
Menurut Ramanan dana RM100 juta itu akan disalurkan melalui Skim Pembiayaan SPUMI Goes Big sebanyak RM50 juta dan dijangka akan memberi manfaat kepada seramai 1,000 orang usahawan.
Katanya, produk Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dengan nilai RM50 juta yang dijangka memberi manfaat kepada seramai 3,500 orang usahawan.
“Kedua-dua skim ini diilhamkan untuk memberikan sokongan menyeluruh, dari modal hingga bimbingan, agar usahawan India dapat meraih kejayaan yang mampan.
“Inisiatif ini adalah lambang keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada individu atau kumpulan yang terpinggir dalam kemajuan ekonomi negara.
“Saya yakin dengan dana ini, masyarakat India bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara signifikan,” katanya.
Sejak SPUMI diperkenalkan pada tahun 2008, skim ini telah menyaksikan kejayaan luar biasa dengan pembiayaan bernilai lebih RM500 Juta yang memanfaatkan 26,804 usahawan India di seluruh negara.
RM100 Juta ini merupakan peruntukan yang tertinggi di peruntukkan untuk komuniti India sejak 2008.
Pada tahun 2024 sebanyak RM58.9 juta telah disalurkan kepada 1,863 usahawan India, manakala skim SPUMI Goes Big yang dilancarkan pada tahun yang sama telah menyokong 287 usahawan dengan pembiayaan berjumlah RM12.6 Juta.
Statistik ini menjadi bukti nyata kejayaan TEKUN Nasional dalam memenuhi mandat kerajaan untuk memberdayakan usahawan mikro dan informal.
Selain daripada Skim SPUMI, TEKUN Nasional turut mempelbagaikan produk pembiayaan untuk usahawan India iaitu Skim SPUMI Goes Big.
Sejak skim ini dilancarkan pada tahun 2024, seramai 287 orang usahawan India telah menerima pembiayaan bernilai RM12.6 juta.
Di bawah aspirasi besar Malaysia MADANI, Anwar telah menegaskan bahawa tiada rakyat yang akan ketinggalan dalam usaha membangun negara ke arah kemajuan yang inklusif.
Inisiatif RM100 juta ini adalah satu lagi langkah berani ke arah merealisasikan transformasi sosioekonomi yang menjanjikan kesejahteraan sejati bagi semua.
Ia bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup masyarakat India tetapi juga menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi.
TEKUN Nasional terus komited untuk menjadi nadi kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana, menyediakan bukan sahaja pembiayaan yang fleksibel tetapi juga sokongan holistik yang mampu mengubah impian menjadi kenyataan.
Dengan usaha bersepadu ini, masa depan masyarakat India di arena keusahawanan kini lebih cerah dan penuh harapan. – WILAYAHKU