BERSEMPENA Perayaan Ponggal Selasa ini, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menaruh harapan lebih banyak kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagian untuk negara dan komuniti India di negara ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menganjurkan program Semarak Kasih Ponggal (Magilchi Ponggal) bagi menyemarakkan lagi sambutan pesta menuai itu di kawasan diwakilinya yang bakal disambut pada Selasa ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR 1, turut mengagihkan tebu dan kit ponggal kepada lebih 4,000 penduduk masyarakat India daripada kumpulan B40 di kawasan Parlimen berkenaan yang dilaksanakan pihaknya sejak dua tahun lepas .
“Program semarak kasih Ponggal membolehkan masyarakat India menyambut perayaan Ponggal dalam suasana ceria, sejahtera dan gembira.
“Masyarakat India di Malaysia bakal menyambut bulan Thai yang menandakan suatu permulaan baru pada Selasa ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Ponggal Vaalthukal dan semoga ia membawa limpahan kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Kasih.
Program itu dianjurkan Persatuan Kebajikan Rakyat Sungai Buloh, pemimpin penduduk Pangsapuri Gugusan Kantan, Kekwa, Kemboja, Tanjung dan Cempaka dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh.
Beliau turut mengedarkan kit ponggal bersama tebu di beberapa lokasi sekitar Parlimen Sungai Buloh hari ini.
Pada Selasa ini, masyarakat Tamil di Malaysia akan meraikan perayaan pesta menuai Ponggal.
Tradisi yang dihargai, perayaan ini melibatkan penyediaan juadah nasi manis atau Pongal yang dimasak dalam belanga tanah liat tradisional, melambangkan rasa syukur kepada Dewa Matahari (Surya Bhagavan) untuk hasil tuaian yang banyak.
Diraikan pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, Thai, Ponggal secara unik mengikuti kalendar suria.
Peribahasa Tamil yang popular, Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum, bermaksud kedatangan bulan Thai membawa peluang baharu, bergema dalam tempoh ini.
Beliau juga berharap masyarakat India di Malaysia menjadikan sambutan perayaan musim menuai itu satu permulaan baharu bagi kaum itu lebih maju dan berjaya, selaras dengan ungkapan Thai
Pirandhal Vazhi Pirakkum.
“Ponggal Vaalthukal, (Selamat Menyambut Ponggal). Sambutlah ponggal dengan ceria dan gembira. Semangat Nambikei.
(Keyakinan) yang kuat sudah pasti akan memberikan kejayaan kepada kita semua.
“Komuniti India perlu bersatu padu. Penyatuan yang kuat dan padu sudah pasti akan memberikan lebih banyak kebaikan dan kejayaan”, katanya.
Ramanan berkata rakyat Malaysia perlu melihat semula perjalanan mereka sebagai sebuah negara bangsa yang telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk membina Malaysia yang aman, harmoni dan semakin progresif hari ini dan menurutnya sudah tentu peranan masyarakat India dalam kemajuan negara cukup signifikan.
“Bersempena sambutan perayaan Ponggal tahun ini, marilah kita sama-sama sebagai rakyat Malaysia mengeratkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan kita seiring dengan gagasan Malaysia MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan akan mengumumkan satu lagi berita gembira untuk komuniti India Selasa depan sempena perayaan ponggal demi memperkasakan lagi ekonomi komuniti itu.
“Tunggulah sampai Selasa depan. Saya akan umumkannya.
“Kerajaan MADANI cukup komited untuk menjamin harapan masyarakat India di negara sepertimana tujuh inisiatif yang dilaksanakan pada tahun 2024 di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi”, katanya. – WILAYAHKU