PUTRAJAYA – Sikap degil orang ramai untuk pulang beraya didapati terus meningkat dengan menyaksikan 3,212 kenderaan cuba merentas negeri sejak semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pengesanan cubaan rentas negeri itu hasil 216 sekatan jalan raya yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sebanyak 318,082 kenderaan diperiksa semalam dengan 3,212 cuba merentas negeri berbanding lebih 1,000 kelmarin.
“Alasan mereka adalah untuk pulang beraya di kampung,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.
Beliau memberitahu, semua kenderaan yang cuba merentas negeri telah diarahkan berpatah balik.
Ismai Sabri menjelaskan setakat ini hanya mereka yang mempunyai kecemasan seperti kematian sahaja dibenarkan merentas negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau menambah seramai 44 individu didapati melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam dengan 40 daripadanya direman polis.
“Selain itu, 51 individu turut dikenakan kompaun susulan kesalahan melanggar SOP,” katanya. – WILAYAHKU
