BUBUR lambuk merupakan juadah istimewa yang sememangnya sinonim dengan bulan Ramadan. Keenakannya menjadi pilihan ramai sekali gus merupakan salah satu menu istimewa ketika berbuka puasa.
Seakan-akan sudah menjadi tradisi di negara ini, masyarakat mengambil kesempatan untuk menyediakannya secara bergotong-royong dan diagihkan kepada komuniti setempat sekali gus berkongsi rezeki sempena bulan yang mulia ini.
Tidak terkecuali di Putrajaya, seramai 300 orang turut serta memasak bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya yang diadakan di Kompleks Kejiranan Presint 9 baru-baru ini.
Resipi bubur lambuk dari Kedah dipilih dalam penyediaan kali ini untuk komuniti Putrajaya yang diagihkan kepada surau, anggota keselamatan dan pertahanan selain Hospital Putrajaya serta Institut Kanser Negara (IKN).
Menurut Cef Mohamad Arshad, 56, pemilihan elemen bubur lambuk dari utara itu menyaksikan ulam-ulaman segar seperti daun kesum dan bunga kantan menjadi aroma tarikan pembuka selera.

“Menariknya dari segi bahan-bahannya, kita lebihkan daging supaya bau dan rasanya lebih menyelerakan bagi memenuhi cita rasa orang ramai untuk dijadikan juadah ketika berbuka puasa mahupun moreh.
“Setiap periuk kita bekalkan dua kilogram daging di mana sebanyak 23 buah periuk disediakan untuk 11,500 pek bubur lambuk komuniti Putrajaya tahun ini. Cara untuk memasak bubur turut dipelbagaikan sama ada menumis atau merebus beras terlebih dahulu,” katanya menu tersebut disediakan sebaik mungkin bagi memenuhi cita rasa orang ramai.
Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata objektif utama program tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan antara PPj dan komuniti, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui aktiviti bersama.
“Aktiviti ini juga adalah untuk menyemarakkan tradisi memasak beramai-ramai dan mengagihkan bubur lambuk terutama dalam bulan Ramadan. Ia merupakan sebahagian daripada acara di bawah kalendar Program Bulan Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya,” jelas beliau.
Program yang berakhir kira-kira pukul 12 tengah hari itu dibimbing oleh Ketua Cef, Roslan Ab Rahman yang merupakan pemenang Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2023 Kategori Hotel & Restaurant anjuran Menara Kuala Lumpur.
Antara agensi yang turut serta adalah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), PutraKop, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Penduduk Wilayah Putrajaya, Persatuan Warga Emas Putrajaya (PERWEP), Kelab Usahawan Putrajaya (KUPPutra) dan Kelab Media Putrajaya.
Terdahulu, turut diadakan di lokasi sama adalah Jualan Rahmah Madani anjuran MPPWP Putrajaya yang mengadakan jualan ikan kembung dengan harga murah, jimat dan berbaloi. – WILAYAHKU