PEMERHATI politik menyambut baik langkah Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza di Palestin.
Dr Abdul Aziz Azizam yang juga Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, langkah itu adalah pastinya yang diharapkan oleh rakyat untuk melihat Malaysia terkehadapan di dalam membangunkan semula Palestin.
“Komitmen ini perlu dizahirkan segera dan diberikan keutamaan.
“Kita sedia maklum keutamaan dalam memulihkan semula sistem keperluan asas seperti hospital, bekalan air bersih dan pendidikan amat diperlukan di sana,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza di Palestin.
Beliau berkata pembinaan semula itu akan dijalankan melalui kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Anwar berkata usaha pembangunan semula Gaza ini juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.
Pada 18 Januari lepas, Anwar dilaporkan berkata pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih USD1 trilion.
Sementara itu, Aziz berkata Malaysia juga perlu memainkan peranan yang lebih membina semula Palestin selepas mengalahkan Israel bukan sekadar usaha pemulihan fizikal.
Beliau berkata tetapi mewujudkan sebuah negara yang stabil, berdaulat dan berdaya saing dari segi ekonomi, politik, serta mempunyai pengaruh serantau.
“Transformasi ini perlu untuk mengubah geopolitik Timur Tengah, memberikan rakyat Palestin masa depan yang lebih cerah, bebas daripada perang dan penjajahan.
“Selain bantuan kemanusiaan, Malaysia juga harus memainkan peranan strategik dalam mengimbangi kuasa di Timur Tengah dengan melibatkan kuasa besar seperti Rusia dan China.
“Ini untuk memperkukuhkan kehadiran mereka di Palestin, seterusnya menyokong pembentukan susunan serantau yang lebih stabil dan multipolar,” katanya. – WILAYAHKU