Berita

Rakyat puas hati perkembangan ekonomi negara

- Diterbit 7 Jun 2024 9:30 AM MYT

PELABUR-PELABUR asing mula menunjukkan minat untuk melakukan pelaburan dalam negara. Malah syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Google dan Tesla  yakin dengan kekuatan ekonomi serta hala tuju Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pelbagai kelebihan hasil pelaburan bakal dikecapi dalam jangka masa sederhana mahupun panjang yang mampu membawa perubahan bukan sahaja kepada ekonomi malah sosial negara juga.

Tinjauan Wilayahku mendapati rata-rata orang ramai menyatakan perasaan teruja dan amat berpuas hati dengan segala pencapaian yang telah ditunjukkan terutama sekali bagi melonjakkan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

Pekerja Swasta, Siti Nuramalina Azmi berkata komitmen pelaburan syarikat terkemuka merupakan perkembangan positif bukan sahaja buat ekonomi negara malah secara keseluruhannya.

“Pelaburan berimpak tinggi ini akan membawa kesan limpahan kepada ekonomi bagi tempoh tertentu selain kesan kepada sektor-sektor seperti teknologi lebih-lebih lagi negara kita sedang ke arah negara berpendapatan dan berteknologi tinggi.

“Dalam masa sama, sektor tenaga serta telekomunikasi juga akan menerima kesan positif apabila syarikat seperti Google yang akan membina pusat data yang perlu dikuasakan dengan bekalan tenaga yang sangat banyak.

“Sektor pembinaan dan hartanah akan turut menerima manfaat apabila proses membangunkan infrastruktur serta kawasan sekitarnya dilaksanakan pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pekerja sektor pelancongan, Didi Ery Syaril menyatakan selain perkembangan ekonomi, ia juga membuka ruang pekerjaan baharu yang lebih luas buat rakyat.

“Bila banyak syarikat asing datang melabur ke dalam negara, ia menunjukkan bahawa negara tersebut mempunyai perkembangan ekonomi yang baik. Dalam masa yang sama dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Ini dapat memberikan impak yang positif kepada sistem sosial negara. Diharapkan selepas ini pihak pelabur turut mengutamakan pekerja tempatan dengan memberi latihan kepakaran yang khusus.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Diharapkan lebih banyak pelabur dapat dibawa masuk pada masa akan datang,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas