Berita

Rakyat Malaysia wajar manfaatkan pengalaman latihan pertahanan awam Korea Selatan

- Diterbit 23 Ogos 2023 3:51 AM MYT

RAKYAT Malaysia di Korea Selatan wajar memanfaatkan  pengetahuan yang mereka peroleh daripada latihan pertama pertahanan awam yang berlangsung di seluruh negara itu pada Rabu (23 Ogos) bagi membolehkan mengurus kecemasan sekembalinya ke tanah air.

Pensyarah kanan kajian strategik dan hubungan antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hoo Chiew Ping, memberitahu Bernama bahawa usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan bencana sebelum ia berlaku turut memberi manfaat kepada Malaysia dan negara lain.

“Sebagai contoh, dalam menghadapi banjir dari semasa ke semasa, bagus untuk kita mengadakan latihan bagi menilai sama ada aset kerajaan dan ketenteraan kita mencukupi untuk mengurus pemindahan berskala besar disebabkan oleh keadaan luar jangka.”

Beliau berkata demikian apabila ditanya sejauh mana pentingnya latihan itu kepada rakyat Malaysia yang menetap di negara Asia Timur itu apabila kedutaan Malaysia di Seoul pada Selasa menggesa mereka supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan di sepanjang tempoh latihan itu berlangsung.

Pada 2021, seramai 3,442 rakyat Malaysia menetap di Korea Selatan.

Latihan yang berlangsung selama 20 minit – julung kali diadakan dalam tempoh enam tahun itu adalah sebahagian daripada persediaan kemungkinan menghadapi serangan udara, lapor media antarabangsa.

Korea Selatan memandang serius potensi ancaman daripada jiran dan musuhnya, Korea Utara.

Mengulas lanjut, Hoo berkata latihan itu dianggap “unik” kerana kerajaan Korea Selatan menekankan senario sebenar dengan latihan berskala lebih besar kali ini.

“Latihan hari ini melibatkan pelan penyelarasan pemindahan semua penduduk.

“Saya jangkakan kali ini senarionya berbeza daripada apa yang dialami warga Korea Selatan sebelum ini. Berdasarkan cabaran daripada dron yang berpotensi digunakan dalam serangan pengganas, ia merupakan ancaman baharu yang saya lihat tidak pernah digunakan dalam latihan sebelum ini.

“Oleh itu, melaksanakan pemindahan sejumlah besar penduduk sangat penting dan perlu tepat pada masanya,” kata Hoo.

Pada Khamis lepas (17 Ogos), Kementerian Pentadbiran Awam dan Keselamatan Korea Selatan mengumumkan bahawa latihan pertahanan awam sebagai persediaan menghadapi serangan udara itu akan berlangsung selama 20 minit, dengan orang awam akan dipindahkan ke ke tempat selamat.

Sebanyak 57 kawasan diisytiharkan sebagai kawasan bencana khas akibat hujan lebat pada Julai dan Taufan Khanun pada awal Ogos, dikecualikan daripada latihan itu, menurut media antarabangsa.

Latihan akan dimulakan dengan amaran serangan udara dan diakhiri dengan siren yang menandakan latihan berakhir pada 2.20 petang. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas