Berita

Rakyat Malaysia tahanan Guantanamo diarah jalani proses penilaian

- Diterbit 19 Disember 2024 9:00 AM MYT

DUA rakyat Malaysia yang diserahkan Amerika Syarikat (AS) selepas ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo, Cuba sejak 18 tahun lalu perlu menjalani proses penilaian.

Demikian jelas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima individu berkenaan iaitu Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep, semalam.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan supaya kedua-dua individu itu menjalani proses penilaian.

“Seterusnya memasuki fasa pemulihan secara komprehensif sebelum direintegrasi ke dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Razarudin berkata, kedua-dua individu itu diterima dalam keadaan baik dan sihat.

Malah katanya, mereka amat bersyukur dapat pulang ke tanah air dan akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu mempamerkan sikap yang positif untuk dinilai dan dipulihkan serta menyatakan komitmen tinggi untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang progresif.

“Semua orang berhak mempunyai peluang kedua dan PDRM akan memastikan mereka berjaya mencapai peluang tersebut,” katanya.

AS telah menyerahkan dua rakyat Malaysia terbabit yang ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba, sejak 2006.

Mohammed Farik, 48 dan Mohammed Nazir, 47, ditahan di Thailand pada 2003 berkaitan insiden pengeboman pengganas yang mengorbankan 202 orang di Bali, Indonesia pada 2002. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas