RAKYAT Malaysia yang merancang percutian ke Korea Selatan diingatkan untuk berhati-hati dalam memilih agensi pelancongan bagi mengelakkan sebarang masalah semasa bercuti di negara tersebut.
Peringatan tersebut adalah daripada Kedutaan Besar Malaysia di Seoul menerusi hantaran di Instagram miliknya.
“Kedutaan menasihatkan orang ramai supaya menyemak latar belakang agensi pelancongan sebelum membuat tempahan.
“Kami juga menggesa para pelancong untuk berwaspada terhadap sindiket yang menawarkan pakej pelancongan dengan harga terlalu murah,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Kedutaan turut menyarankan agar pelancong menyemak senarai agensi pelancongan berdaftar menerusi laman sesawang rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di pautan https://www.motac.gov.my/semakan/tobtab bagi membantu membuat pilihan yang lebih tepat.
“Penggunaan agensi pelancongan yang berdaftar dapat meminimumkan risiko dan memastikan perjalanan anda berjalan lancar,” katanya.
Peringatan ini susulan laporan netizen mengenai pengalaman negatif dengan agensi pelancongan yang dikendalikan oleh personaliti media sosial di Korea Selatan dan mendakwa perkhidmatan yang diterima tidak memenuhi jangkaan, termasuk isu kelewatan dalam penyediaan tiket penerbangan dan perubahan penginapan pada saat akhir.
Kedutaan Malaysia di Korea Selatan turut menekankan kepentingan memastikan semua urusan dengan agensi pelancongan disokong oleh resit pembayaran yang lengkap serta dokumen berkaitan. – WILAYAHKU