Berita

Rakyat Malaysia digesa tinggalkan Sudan Selatan

WISMA Putra Kementerian Luar Negeri Malaysia
- Diterbit 28 Mac 2025 10:30 AM MYT

KEMENTERIAN Luar Negeri menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Sudan Selatan untuk mengutamakan keselamatan dan membuat persiapan bagi segera meninggalkan negara tersebut.

Menurut kementerian itu, ia perlu dilakukan sementara penerbangan komersial masih beroperasi.

“Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, sedang memantau situasi keselamatan di Sudan Selatan berikutan perkembangan terkini yang telah menjejaskan tahap keselamatan di negara tersebut.

“Memandangkan risiko yang semakin meningkat, serta kemungkinan keadaan keselamatan terus meruncing, kementerian ini menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Sudan Selatan untuk mengutamakan keselamatan mereka dan membuat persiapan bagi segera meninggalkan negara tersebut,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kementerian Luar Negeri menambah, Pejabat Suruhanjaya Tinggi sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia, di samping terus menyelaras dengan pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan status 18 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat di bawah United Nations Police (UNPOL).

“Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Kementerian ini juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak melakukan sebarang perjalanan ke Sudan Selatan.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara. Kementerian ini akan terus memantau situasi ini dengan teliti,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas