Berita

Rakyat lega PPR Tanjung Aru bakal siap

ZALIHA (tiga dari kanan) ketika melawat PPR Batu Arang di Kampung Tanjung Aru pada lawatannya baru baru ini
- Diterbit 31 Mei 2024 3:10 PM MYT

PROJEK Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Batu Arang, Tanjung Aru yang dijangka siap penghujung tahun ini bakal menamatkan penantian golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman yang lebih selesa.

Menurut peniaga, Harifah Mustarih, beliau menyifatkan PPR  itu mampu membantu mereka yang selama ini tidak berkemampuan namun terpaksa menyewa di kawasan sekitar yang semakin mahal.

“Kadar sewa rumah di Labuan amat tinggi dan jika dibandingkan dengan tempat lain ia seperti kadar sewa di kawasan bandar utama iaitu di kawasan bandar atau kampung sekitar RM1,000 hingga RM3,000 sebulan dan itu amat membebankan kepada mereka yang tidak berkemampuan.

“Dengan kadar sewa yang tinggi, pendapatan yang rendah sudah pasti pilihan yang ada hanya dengan menyewa sebuah bilik sahaja,” ketika ditemui WilayahKu, baru-baru ini.

Harifah turut berharap agar Perbadanan Labuan dapat membuat pemilihan yang teliti dan memberikan keutamaan kepada golongan yang memerlukan rumah berkenaan.

“Bagi saya dengan adanya perumahan ini sudah tentunya baik kepada masyarakat di sini. Kita mengharap ia menjadi sinar baharu kepada masyarakat di sini untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Bagi Aini Julai, beliau bersama suaminya sudah memohon rumah PPR itu sejak dibuka awal tahun lalu, namun sehingga kini belum menerima sebarang keputusan sama ada permohonannya diterima atau sebaliknya.

“Sekarang ini saya sekeluarga terpaksa menyewa di rumah kawasan kampung dengan sewa RM900 sebulan. Untuk menampung sewa sahaja kami terpaksa berjimat-cermat dalam perbelanjaan.

“Dahulu saya hanya suri rumah sahaja, namun selepas keadaan ekonomi keluarga yang agak teruk maka saya memutuskan untuk bekerja demi memenuhi keperluan hidup kami anak beranak seperti tempat berteduh,” katanya.

Tambahnya, dia dan suaminya yang merupakan pekerja pembersihan hanya mampu meraih pendapatan sekitar RM3,000 sebulan amat memerlukan rumah seperti itu bagi meringankan beban mereka.

“Jika saya menerima PPR ini nanti, ia pasti mengurangkan beban kerana kadar sewanya berpatutan manakala wang lebihan boleh digunakan untuk perbelanjaan lain seperti untuk anak-anak,” katanya.

Aini berkata dia telah melepasi semua syarat yang diperlukan ketika membuat permohonan menyewa PPR dan berharap agar diluluskan sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan yang kian meningkat.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan pembinaan projek tersebut bernilai RM112 juta itu bakal siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Untuk PPR Batu Arang, ia mempunyai 500 unit rumah kediaman dengan dua blok 13 tingkat bakal menempatkan warga Labuan yang layak serta dilengkapi dengan kemudahan tadika, dewan orang ramai, surau dan taman permainan,” katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak PPR itu, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan PL untuk meneliti dasar dan syarat kelayakan bersama-sama Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan projek ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas