Berita

Rakyat Labuan tidak dilupakan

- Diterbit 20 Mei 2024 6:00 PM MYT

WALAUPUN tidak berkesempatan menyantuni rakyat atas kekangan urusan rasmi kerajaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melupakan rakyat Labuan.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Politik beliau iaitu Datuk Azman Abidin yang mewakili beliau menyantuni golongan kurang berkemampuan di pulau itu.

Azman berkata, sumbangan yang disalurkan tersebut diharapkan mampu menceriakan dan memberikan harapan baru serta iltizam jitu kepada mereka yang kurang bernasib baik untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah masa depan yang lebih cerah.

“Alhamdulillah, hari ini saya datang ke Labuan dengan penuh amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyamapaikan sumbangan kepada anak-anak yang kita sayangi.

“Meskipun beliau tidak berkesempatan untuk turun padang menyantuni rakyat di Labuan, namun beliau tidak alpa dengan tanggungjawab kepada rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan khususnya.

“ Perdana Menteri sentiasa komited dalam usaha mendekati rakyat dan menjadi ikutan kepimpinannya pada masa ini,”katanya semasa berucap di Program Ramah Mesra Bersama Anak Yatim dan Asnaf di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja rasmi kali kedua beliau ke Labuan yang dijangka pada akhir bulan ini.

“Kita dimaklumkan bahawa Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja kali kedua ke Labuan yang akan dijadualkan pada hujung Mei ini dan ini membuktikan bahawa kesungguhan Perdana Menteri untuk memacu kemajuan pulau ini,”katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.

Pada majlis itu, kira-kira 200 orang penerima terdiri daripada golongan asnaf dan pelajar menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 seorang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas