Berita

Rakyat, kerajaan jalin hubungan erat

ANWAR ditemani Mohd Na'im menyantuni mereka yang hadir ke program berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
- Diterbit 26 Mac 2025 6:49 PM MYT

LEBIH 10,000 orang termasuk golongan agamawan dan asnaf, berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) serta rakan strategik itu turut disertai isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Terdahulu, Perdana Menteri lengkap memakai busana baju Melayu berwarna biru tiba kira-kira pukul 7 malam dan meluangkan masa bersalaman dengan orang ramai yang hadir.

Beliau bersama hadirin kemudian menyaksikan ceramah khas bertema ‘Ramadan Pemacu Ummah MADANI’ yang disampaikan oleh Datuk Badlishah Alauddin. Majlis turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh kumpulan nasyid popular, Rabbani.

Pada majlis itu juga, Mohd Na’im menyampaikan sumbangan kepada 120 asnaf dari Bukit Bakong, Sepang.

Mohd Na’im memaklumkan bahawa program berbuka puasa itu bukan sekadar peluang untuk berkumpul beramai-ramai tetapi juga sebagai platform memupuk kesedaran masyarakat mengenai pentingnya nilai kemanusiaan dan kepedulian terhadap golongan memerlukan.

“Melalui inisiatif ini, kita dapat menggalakkan semangat ukhuwah, memupuk kasih sayang dan menjalinkan hubungan lebih erat antara rakyat dengan kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas