Berita

Rakyat berpeluang berikan penghormatan terakhir di Masjid Negara esok

- Diterbit 14 April 2025 9:52 PM MYT

BEKAS Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menghembuskan nafas terakhir hari ini, meninggalkan legasi kepimpinan yang dikenang seluruh rakyat Malaysia.

Menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin, dalam memaklumkan bahawa jenazah akan dibawa ke Masjid Negara pada pagi esok (15 April) bagi memberi peluang kepada rakyat memberikan penghormatan terakhir.

“Orang ramai boleh hadir di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah,” katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Hadir sama, anak sulung Allahyarham, Datuk Seri Kamaludin Abdullah dan Nori Abdullah.

Khairy turut memaklumkan bahawa jenazah akan disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat Zuhur.

“Pihak keluarga mengalu-alukan kehadiran semua rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama memberikan penghormatan terakhir,” katanya.

Bagi pengunjung bukan beragama Islam, mereka dinasihatkan agar mengenakan pakaian yang sopan dan bersesuaian sebagai tanda penghormatan.

Tun Abdullah, yang lebih mesra disapa sebagai Pak Lah, dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan tokoh negarawan yang membawa pendekatan Islam Hadhari serta menekankan prinsip kesederhanaan dalam kepimpinan.

Maklumat lanjut mengenai urusan penghormatan terakhir akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas