Berita

Rakam lagu Sesal… Siti Nurhaliza selami emosi, rintihan ibu kehilangan anak

- Diterbit 17 April 2025 7:00 AM MYT

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui beliau menyelami hati seorang ibu yang kehilangan anak ketika merakamkan lagu Sesal.

Menurut Siti yang juga penyanyi nombor satu negara ini, penghayatan apabila memahami bait-bait lirik memudahkan proses rakaman.

“Lagu Sesal ini mempunyai emosi yang mendalam mengenai penyesalan, dendam dan rintihan seorang ibu yang kehilangan anak. Jadi, saya tertarik untuk menyanyikannya.

“Sebaik saja mendengar melodi dan memahami liriknya yang ringkas, saya tak nafikan ia terus menyentuh jiwa. Malah, saya juga rakamkan lagu ini kurang dari 30 minit.

“Sebab, melodinya mudah dihayati dan lirik pun senang difahami kerana saya sudah diberikan gambaran berkaitan penceritaan kisahnya merangkumi perasan sedih dan dendam yang ada.

“Oleh itu, boleh dikatakan saya hanya sampaikan lagu Sesal ini mengikut kefahaman sendiri dan kebiasaannya lagu genre balada tidaklah sukar untuk dihayati selepas tahu jalan cerita,” katanya.

Siti berkata demikian dalam majlis pelancaran lagu Sesal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lagu Sesal ini diinspirasikan oleh jalan cerita yang dramatik dan menyayat hati dalam filem Telaga Suriram.

Apa yang menarik, pengarah yang juga penerbit filem Telaga Suriram iaitu Osman Ali berpendapat tiada penyanyi lain selain legenda tanah air, Siti Nurhaliza, yang mampu menyampaikan penderitaan emosi seorang ibu yang tidak dapat menemui anaknya yang hilang.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua berikutan dapat menyaksikan lagu Sesal dilancarkan sebagai lagu tema Telaga Suriram.

“Tidak hanya itu, saya juga berbesar hati kerana penyanyi tersohor negara kita, Siti sudi dan berminat menyanyikannya,” katanya.

Menurut komposer dan juga penulis lirik, Nurzaidi Abd Rahman, yang juga pernah menggubah lagu tema untuk Ombak Rindu, lagu Sesal menjadi lagu tema untuk filem Telaga Suriram dan menggambarkan dengan kuat serta mendalam unsur keganasan dan ketegangan dalam filem tersebut

Lagu ini membawa pendengar merasai kerinduan yang dalam dan kesakitan emosi yang menyentuh jiwa.

Rakaman penggambaran MTV telah dijalankan di Studio Kayangan, dibawah arahan Shuhaimi Zulkefli.

Lagu Sesal kini boleh didengari di semua saluran DSP kegemaran anda. Tonton video muziknya di saluran YouTube Universal Malaysia.

Sinopsis Filem Telaga Suriram

Filem Telaga Suriram mengangkat genre pembunuhan misteri dan seram menerusi jalan cerita berlatar masa sekitar era 1980-an.

Ia mengisahkan di sebuah kampung terpencil, seorang kanak-kanak perempuan hilang secara misteri, mengheret komuniti yang erat ke dalam kekacauan dan ketidakpercayaan.

Ketidakmampuan untuk menemui anak itu menyebabkan penduduk menyebarkan khabar angin tentang pengorbanan syaitan.

Namun apabila mereka mula diganggu, pelbagai syak wasangka timbul dan satu kebenaran yang mengerikan, penuh dengan rahsia dan rasa malu mula terdedah. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas