JIKA anda sedang merancang untuk bercuti di lokasi indah dalam negara, apa kata masukkan Labuan dalam senarai perancangan anda. Ini kerana pulau tersebut memiliki pelbagai destinasi percutian wajib singgah.
Keindahan gugusan pulau seperti Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman misalnya menjadi antara lokasi yang sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Setelah anda menerokai keunikan Labuan sudah tentu perkara terakhir yang bermain di fikiran adalah mencari cenderahati untuk dibawa pulang sebagai kenangan mahupun buah tangan kepada yang tersayang.
Apa kata singgah sebentar di Bangunan Pasar Sentral (UTC) kerana di sini terdapatnya sebuah kedai barangan cenderahati yang mampu membuatkan anda rambang mata.
Menariknya Rajibu Trading yang dimiliki oleh orang tempatan ini menghimpunkan hiasan batu permata dan mutiara yang dibawa dari luar negara seperti Cina, Indonesia dan Filipina.
Menurut pemiliknya, Balqis Banur Jabir Ali, perniagaan yang diusahakan hampir 24 tahun itu menghimpunkan pelbagai barangan perhiasan diri seperti gelang, kerongsang dan tidak ketinggalan juga kraf tangan seperti beg, dompet dan sebagainya.
“Meskipun barangan mentah untuk membuat perhiasan dan kraf tangan diperolehi dari negara luar namun ia tidak menjadi penyebab untuk kami meletakkan harga yang tinggi.
“Produk yang terdapat di kedai saya sangat berpatutan dan mampu milik bermula RM1 sehingga RM400 mengikut jenis dan kualiti produk tersebut,” ujarnya kepada Wilayahku.
Katanya lagi, pembuatan barangan perhiasan seperti gelang dan cincin daripada batu permata dan mutiara merupakan hasil tangannya sendiri yang mana dia turut mengambil tempahan mengikut permintaan pelanggan.
“Biasanya pelanggan yang datang ke sini mereka akan memilih sendiri batu permata dan mutiara yang diinginkan untuk dijadikan perhiasan. Jadi saya akan buat di hadapan mereka.
“Alhamdulillah setakat ini permintaan terhadap barangan cenderahati tidak putus-putus dan sangat menggalakkan biarpun kadang-kadang ia mengikut musim,” ujar Balqis di kedainya terdapat lebih 60 barangan menarik.
Selain daripada itu, dia turut menjalankan perkhidmatan pemasangan anting-anting dengan harga serendah RM5 sahaja.
“Jika mereka ingin mendapatkan pakej penuh iaitu pemasangan termasuk anting-anting yang unik, kita hanya mengenakan bayaran sebanyak RM23 sahaja,” katanya lagi.
Harga murah, kualiti tinggi
Sementara itu, menurut salah seorang pelanggan, Syahida Musa, produk cenderahati yang dijual di Rajibu Trading bermutu tinggi.
“Saya berada di Labuan hampir tiga hari atas urusan peribadi dan sebelum balik ke Semenanjung saya mencari buah tangan untuk keluarga sebagai tanda kenang-kenangan dari Labuan.
“Kedai ini bukan sahaja menjual cenderahati yang menarik tetapi unik. Malah apabila saya pulang ke hotel, ahli keluarga yang melihat cenderahati tersebut turut mahu membelinya kerana kualitinya.
“Insya-Allah jika datang ke sini lagi saya pasti akan membeli-belah di kedai ini lagi,” ujarnya yang juga turut berpuas hati dengan layanan yang diterima daripada Balqis.
Bagi pelajar, Syukrina Sukri yang turut menjadikan kedai tersebut sebagai pilihan mendapatkan buah tangan, sudah pasti harga yang murah menjadikan ia sebagai pilihan utama.
“Sebagai seorang pelajar, harga cenderahati yang murah dan berpatutan itu menjadi tarikan saya untuk membeli barangan di kedai ini,” ujarnya yang teruja untuk berkongsi keunikan tersebut bersama rakan-rakan.