Berita

Raja Zarith Sofiah berangkat ke Kuala Lumpur

KREDIT foto: Facebook Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
- Diterbit 29 Januari 2024 6:05 PM MYT

PERMAISURI Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berangkat secara rasmi ke Kuala Lumpur hari ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, dengan beberapa foto mengenainya turut dikongsi di platform media sosial itu.

Mengiringi Permaisuri Johor ialah paduka anakanda Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Terdahulu, keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah di Hangar Diraja Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai disambut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan isteri Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor.

Turut hadir Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani dan Ketua Polis Johor CP M Kumar serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri Johor.

Sultan Ibrahim akan berangkat ke Istana Negara, Kuala Lumpur bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Rabu ini.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan esok.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas