Berita

Raja Permaisuri Agong serah sumbangan kepada 400 asnaf

- Diterbit 27 Ogos 2024 10:33 AM MYT

RAJA Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan sumbangan kepada 400 asnaf di Kuala Lumpur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata sumbangan kepada asnaf itu terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan miskin.

“Mereka disantuni dengan sumbangan bakul makanan berupa barangan keperluan asas yang disumbangkan oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor,” katanya di Facebook.

Zaliha juga berkata beliau menjunjung kasih kepada Raja Zarith Sofiah atas perkenan mencemar duli ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Sempena Hari Kebangsaan 2024 Bersama Komuniti Kuala Lumpur di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

Raja Zarith Sofiah sebelum itu tiba diiringi isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Zaliha.

Majlis yang diadakan semalam merupakan yang ketiga selepas majlis pertama di Institut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1 April lepas, melibatkan sumbangan kepada 500 warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kategori miskin tegar.

Majlis kedua pula dilaksanakan pada 13 Jun lepas di Pusat Komuniti Setiawangsa melibatkan 500 penduduk Wilayah Persekutuan dalam kategori yang sama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas