Berita

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Floria Diraja Putrajaya

- Diterbit 22 Ogos 2024 4:47 PM MYT

RAJA Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Floria Diraja Putrajaya 2024 serta melawat tapak festival di Persisiran Tasik, Presint 2 yang mempamerkan pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.

Keberangkatan tiba baginda disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah turut dipersembahkan hibrid baharu orkid spesies Vanda yang dinamakan ‘Bandachostylis Queen Zarith Sofiah’ sebagai kenang-kenangan daripada pihak Perbadanan Putrajaya (PPj).

Floria Diraja Putrajaya kali ke-13 dengan tema ‘Raikan Bersama’ itu dianjurkan PPj dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan dibuka kepada pengunjung mulai hari ini hingga 1 September depan.

Bunga Petunia dipilih sebagai tema Floria Diraja Putrajaya 2024 berikutan keunikan struktur pertumbuhannya malah keindahan warna kelopak bunga yang cantik serta menjurai dapat menyuntik elemen estetika seumpama menerangi dan menceriakan pengunjung.

Sejak 2007, Floria Diraja Putrajaya merupakan satu daripada produk pelancongan PPj yang bertaraf antarabangsa dan telah menarik kehadiran ribuan pelancong serta pengunjung dari dalam dan luar negara.

Penganjuran festival bunga dan taman itu turut menyumbang kepada penzahiran model C.H.A.S.E City (Clean, Healthy, Advanced, Safe and Eco-Friendly City) terutama di Putrajaya.

Buat pengunjung yang berminat untuk datang ke Floria Diraja Putrajaya, caj bayaran tiket dewasa yang dikenakan adalah sebanyak RM10 manakala RM5 buat kanak-kanak. Untuk bukan warganegara pula, tiket dewasa adalah RM30 manakala kanak-kanak RM25. Buat kanak-kanak bawah tujuh tahun dan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pula adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari media sosial PPj di Facebook @Perbadanan Putrajaya; Twitter @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my.

Sebagai rekod, Floria Diraja Putrajaya 2024 merupakan salah satu signature event dan produk pelancongan PPj bertaraf antarabangsa yang telah menarik ribuan pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas