DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimumah Mohd Sharif meraikan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terlibat dengan penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2024 di dalam satu Majlis Jamuan Penghargaan Kakitangan Bagi Penglibatan Laman Pameran Floria 2024 bertempat di Laman Presint 2, Putrajaya pada Isnin.
Beliau menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada semua kakitangan daripada jabatan-jabatan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Ia bersesuaian dengan tema acara tahun ini iaitu Raikan Bersama! yang bertujuan memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan warga kerja DBKL.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang terlibat dan meletakkan harapan agar semua pihak untuk sentiasa komited dan bersatu padu dalam mencapai kecemerlangan demi memartabatkan nama baik DBKL,” ujarnya.
Menurut Maimunah, Floria Diraja Putrajaya 2024 merupakan penglibatan DBKL kali ke-13 sejak ia diadakan pada tahun 2007.
“Kepada semua warga kota, ayuh kita hadir beramai-ramai ke Floria Diraja Putrajaya 2024 bagi memeriahkan lagi Laman Pameran DBKL,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut melawat ke Laman Pameran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi meninjau persiapan akhir sebelum Floria Diraja Putrajaya berlangsung pada 22 Ogos sehingga 1 September 2024.
Turut hadir Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Mohamad Hamim dan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk LAr. Ismail Ngah. – WILAYAHKU