Berita

Rai hubungan diplomatik

- Diterbit 6 September 2024 11:30 AM MYT

ISTANA Budaya (IB) bakal mementaskan semula Teater Muzikal Puteri Hang Li Po (TMPHLP) sebagai simbolik kepada Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dan China Oktober ini.

Ketua Pengarahnya, Zubaidah Mukhtar berkata TMPHLP mengangkat tema cinta dan tanggungjawab di mana naskhah ini adalah sebuah cerita ilustrasi yang diinspirasikan daripada rekod sejarah iaitu persahabatan antara Maharaja China dan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.

“Pemilihan TMPHLP bertepatan bagi menyemarakkan industri pelancongan dan budaya serta salah satu aktiviti to mark the celebration dalam meraikan hubungan diplomatik antara dua negara.

“Hasil karya asal dan penulis skrip oleh Allahyarham Rahimidin Zahari, skrip teater ini digarap semula di bawah arahan Adzwa Saini selaku Pengarah Persembahan dan dibantu oleh bakat muda dari IB iaitu Amsyar Azizan. Teater ini menampilkan beberapa artis tempatan berbakat besar iaitu Dewi Liana Seriestha, Brian Chan, Luqman Hafidz dan lain-lain termasuk penggiat seni teater tanah air,” katanya dalam satu kenyataan media.

Zubaidah berkata IB dipertanggungjawabkan untuk meraikan sambutan diplomatik ini dalam bentuk seni persembahan dan budaya sekali gus menyokong usaha Kerajaan Malaysia MADANI khususnya melalui Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

“Teater muzikal ini juga menjemput dua pemuzik dari China untuk bersama berkolaborasi sebaris dengan pemuzik IB sebagai simbolik keharmonian antara dua negara.

“TMPHLP akan berlangsung selama empat hari dengan lima pementasan pada 3 hingga 5 Oktober 2024, pukul 8.30 malam di Encore Melaka. Penonton juga boleh menonton persembahan ini pada sebelah petang (slot matinee) pada 5 dan 6 Oktober 2024, pukul 2.30 petang di pentas yang sama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas