Selera

Rahsia sup ikan Pak Mastor

- Diterbit 23 Oktober 2024 11:59 AM MYT

SUP merupakan sejenis hidangan yang begitu dekat dengan masyarakat di Borneo termasuklah di Labuan. Antara menu popular yang sering menjadi pilihan pelancong tatkala menjejakkan kaki ke pulau ini adalah sup ikan.

Merupakan juadah sederhana yang mudah disediakan‚ sup ikan memiliki keenakan tersendiri yang sudah tentunya menjadi pembuka selera kepada sesiapa sahaja.

Dihidangkan bersama bihun atau mee kolok menjadikan ia hidangan  yang digemari ramai tidak kira daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa.

Jika anda berkunjung ke Labuan‚ Wilayahku mencadangkan agar singgah sebentar untuk mengalas perut di Restoran Masninah yang terletak di bandar utama.

Pemiliknya‚ Mastor Mat Noor‚ 63‚ berkata antara sup yang terdapat di restorannya ialah sup ikan kerisi‚ sup ikan merah‚ sup ikan putih dan beberapa pilihan lain lagi.

Berkongsi lanjut‚ Mastor berkata ramai yang menyangka penyediaan sup tersebut mudah namun di sebaliknya ia memerlukan pengalaman untuk menepati citar rasa pelanggan.

“Ramai yang melihat pembuatan dan penyediaan sup ikan ini mudah dan senang ditiru atau sebagainya. Namun penyediaan itu memerlukan ilmu yang tinggi untuk menghasilkan rasa yang lazat.

“Cara penyediaannya hanya menggunakan rempah ratus namun apa yang perlu dititikberatkan ialah dari segi cara memasaknya. Untuk mendapatkan rasa yang lazat‚ rempah ratus yang digunakan hendak dimasukkan sesudah air sup mendidih.

“Setelah dimasak selama dua jam barulah rempah ratus itu dimasukkan dan dimasak untuk mengelakkan ia  hangus dan menjadi hangit‚” ujarnya yang tidak lokek berkongsi ilmu masakan.

Dia yang merupakan pesara kerajaan memberitahu‚ dia pernah belajar cara penyediaan sup ikan daripada tukang masak berbangsa Cina selama dua tahun untuk mendapatkan ilmu tersebut.

“Sup ikan ini merupakan makanan bangsa Cina sebenarnya dan saya melihat makanan tersebut sangat digemari oleh pelbagai bangsa namun tiada orang kita (Islam) yang mengusahakannya.

“Dari situ saya belajar dan setelah itu baru berniaga di pasar malam selama bertahun-tahun sebelum berjaya memiliki restoran sendiri‚” ujar bapa kepada tujuh orang cahaya mata itu.

IKAN SEGAR JADI PILIHAN

Bercerita lanjut‚ Mastor berkata dia turut menggunakan ikan segar yang diperolehinya daripada nelayan tempatan untuk memastikan kualiti sup tersebut terjamin.

Ujarnya satu kelebihan yang ada apabila dia tidak perlu risau terputus bekalan ikan memandangkan ia boleh mendapatkan bekalan terus daripada nelayan.

“Kita di Labuan amat beruntung kerana bekalan ikan segar amat mudah didapati. Sebagai peniaga sudah tentu saya boleh beri jaminan menghasilkan sup terbaik kepada pelanggan.

“Sekurang-kurangnya saya memerlukan 60 kilogram (kg) ikan setiap hari untuk menyediakan sebanyak 200 hingga 500 mangkuk‚” ujarnya lagi.

Bercerita lanjut keistimewaan restorannya yang kini berusia hampir empat tahun‚ Mastor berkata rata-rata pelanggan tetapnya datang menikmati sup ikan kerana merupakan satu-satunya peniaga beragama Islam di pulau itu.

“Bagi saya ini adalah satu ibadah kerana dapat menyediakan hidangan kepada masyarakat Islam yang menitikberatkan tentang kebersihan dan status halal.

“Jika diberi kesempatan rezeki dan usia yang panjang kemudian hari‚ saya merancang untuk membuka cawangan baharu bagi mengembangkan lagi perniagaan ini‚” ujarnya yang turut dibantu anak lelakinya. – WILAYAHKU

Info:
Alamat: Restoran Masninah, Pusat Bandar WP Labuan
Nombor telefon: 017-893 1961
Masa: 7 pagi hingga 6 petang (setiap hari kecuali cuti umum)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas