Selera

Rahsia lai chi kang Derfrezzgril jadi pilihan

MOHD Nabil mengetengahkan lai chi kang homemade dengan variasi 12 bahan buat peminat pencuci mulut tersebut.
- Diterbit 24 November 2023 2:30 AM MYT

SEBUT sahaja air lai chi kang pasti kita terbayang kenikmatan hidangan pencuci mulut yang segar ini lebih-lebih lagi ketika musim panas di mana khasiatnya dikatakan mampu menyejukkan badan.

Merupakan pencuci mulut tradisional bagi kaum Cina satu ketika dahulu, untuk menyediakannya, ia digabungkan dengan beberapa jenis herba berbeza bergantung kepada tukang masak.

Seiring masa, lai chi kang turut melalui transformasi di mana pelbagai campuran bahan diletakkan bagi menjadikannya lebih enak namun masih mengekalkan bahan utamanya seperti kembang semangkuk.

Biarpun kini ia mudah didapati di mana sahaja selain terdapat pek segera bagi memudahkan penyediaannya, namun ia tetap menjadi hidangan wajib ada di restoran dan sebagainya.

Memandangkan ia sering menjadi pilihan pelanggan, maka pengusaha Derfrezzgril, Mohd Nabil Iqbal Md Tasrin, 25, mengambil keputusan untuk mengetengahkan lai chi kang homemade buat peminat pencuci mulut tersebut.

Berkongsi tentang perniagaannya, anak muda ini berkata, idea tercetus pada tahun 2020 di mana ketika itu dia bertindak menyediakan hidangan lai chi kang untuk kaum keluarga dan jiran yang datang bertandang.

“Saya tidak menyangka, mereka memberi maklum balas yang baik dan meminta untuk menjualnya. Kali pertama saya buka tempahan, ramai penduduk sekitar kawasan rumah datang membeli.

“Sejujurnya tarikan utamanya pada air longan hitam yang saya buat sendiri selain 12 bahan yang terdapat di dalamnya seperti kembang semangkuk, kurma cina, biji selasih, buah kundur, kismis, longan kering, laici, barli, cincau, teh bunga, cendawan putih dan lain-lain.

“Rata-ratanya berpuas hati kerana menurut mereka ia tidak terlalu manis berbanding lai chi kang yang dijual di luar,” ujarnya kebanyakan pembeli akan mengulangi membelinya lagi.

Ditanya mengenai kualiti, Mohd Nabil berkata, ia adalah keutamaan dan dia akan sentiasa memeriksa bahan-bahan yang digunakan agar tidak berbau dan sentiasa segar.

“Lai chi kang ini ada ragamnya, kadang-kadang boleh tahan selama seminggu di dalam peti ais tetapi ada kalanya hari kedua sudah menjadi pekat, tidak seperti bancuhan asal namun ia masih boleh dimakan,” ujarnya.

TERIMA 2,500 PEK TEMPAHAN

Dijual dengan harga RM7 sebekas, air lai chi kang jualannya yang tular di laman sosial sebelum ini membuatkannya mampu meraih
pendapatan sampingan yang menguntungkan.

“Alhamdulillah. Saya pernah menerima tempahan sehingga 2,500 pek sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, selain
600 pek dalam masa satu hari sahaja.

“Walaupun penat dan agak tergesa-gesa untuk menyiapkannya tetapi seronok asalkan dapat memenuhi permintaan pelanggan,” ujarnya mengakui sambutan tersebut merupakan salah satu galakan kepadanya untuk tidak berputus asa.

Lebih menarik, Mohd Nabil berkata dia seringkali menerima undangan program televisyen dan radio di bawah label usahawan muda untuk mempromosikan produknya.

“Insya-Allah jika diizinkan, saya ingin memperluaskan lagi perniagaan selain berhasrat untuk terlibat sebagai pembekal bagi katering selain dalam masa yang sama mengkomersialkannya
sebagai salah satu minuman segera yang dikenali ramai,” ujarnya kepada Wilayahku. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas