PELAKON dan pengarah Que Haidar mengesahkan sudah bercerai dengan isterinya Linda Jasmine pada 2 Julai lalu.
Bagaimanapun ujar Que, 45, hubungannya dengan bekas isteri masih lagi baik.
Menurut Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, dia merahsiakan berita perceraiannya kerana menyifatkan ia sebagai terlalu peribadi untuk dikongsikan.
“Allahuakbar, alhamdulillah itu yang Allah aturkan. Saya minta semua doakan yang terbaik untuk saya dan Linda. Tapi kami masih baik, tiada siapa yang mahu bercerai.
“Mungkin ini jalan yang terbaik, kami masih berkawan demi anak-anak,”katanya kepada media malam tadi.
Que bagaimanapun enggan mendedahkan punca keruntuhan rumah tangga yang dibina sejak 15 tahun lalu.
Namun bersyukur dua anak hasil perkongsian hidup mereka iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12, menerima keputusan itu dengan matang.
“Hubungan kami masih lagi baik demi anak-anak. Alhamdulillah mereka juga menerima dengan matang,” katanya.
Que dan Linda yang juga tenaga pengajar tarian program Akademi Fantasia mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Sementara Linda pula mempunyai seorang cahaya mata lelaki iaitu Qalif Khan, 24, daripada perkahwinan terdahulu.-WILAYAHKU