SEJAK akhir-akhir ini penyanyi remaja Zaki Yamani sering merakamkan momen-momen manis bersama model dan pelakon cantik Nur Qistina Raisah menerusi media sosialnya.
Ramai peminat tumpang gembira apabila melihat mereka berdua serasi seperti pasangan kekasih.
Zaki yang jugak anak kepada penyanyi hebat Datuk Jamal Abdillah ini sendiri mengaku semakin rapat dengan Qistina semenjak dua minggu lalu.
“Tidak dinafikan, ramai peminat fikir saya dan Qistina adalah pasangan bercinta. Apa yang saya boleh cakap, buat masa ini kami hanya kawan baik, tidak lebih daripada itu.
“Jujurnya saya sudah lama follow Qistina di instagramnya sebelum akaun tersebut kena hack. Sekarang dia buat akaun baharu.
“Hendak dijadikan cerita, saya mahu jumpa kawan di sebuah pusat beli belah. Entah macam mana, dia bawa Qistina sekali.
“Rasa seronok juga sebab saya sudah lama teringin bertemu dengannya secara hadapan,” katanya kepada Wilayahku.

Walaupun menafikan mereka mempunyai hubungan istimewa, Zaki akui Qistina memenuhi ciri-ciri gadis idamannya.
“Qistina ada ciri-ciri gadis idaman saya seperti sekepala, serasi, kami selesa bersama dan boleh berkongsi banyak cerita.
“Namun, itu tidak bermaksud saya menyukainya lebih daripada seorang kawan baik,” katanya lagi yang akan muncul dengan lagu baharu berjudul Slowmo ciptaan Cat Farish.
“Lagu ini mengisahkan seorang lelaki yang menjadi pujaan ramai wanita. Kalau nak tahu kisah selanjutnya, jangan lupa dengar lagu ini yang akan dilancarkan dalam masa terdekat,” ujar Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah,14.

Sebelum ini, adik kepada bintang Big Stage 2020, Osama Yamani Abdillah popular dengan lagu Percayaku.
Zaki Yamani adalah anak Jamal Abdillah bersama bekas isterinya Fatimatuzahra Samat,37, daripada perkahwinan ketiga. – WILAYAHKU