Artikel

Pyanhabib senama dengan Kuala Lumpur

PYANHABIB (kiri), penulis (tengah) dan Khalid Salleh ketika majlis perkahwinan anak penulis pada 29 Ogos 2015
- Diterbit 14 Jun 2024 10:50 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

HARI itu dalam bulan April 1984 saya antara 14 wartawan baharu Utusan Melayu yang diarahkan mengikuti kursus orientasi yang diadakan di bilik mesyuarat Utusan Printcorp tidak jauh dengan ibu pejabat Utusan Melayu.

Di satu sudut bilik mesyuarat itu ada seorang anak muda berambut pendek yang kemas, bermisai, baju berlengan panjang. Anak muda pendiam itu mengingatkan saya kepada wajah seorang penyair yang beberapa kali disiarkan di surat khabar.

Saya menjeling tag nama di bajunya, ‘Mohd Sufyan Abdul Rahman.’ Ternyata dia bukan penyair yang saya pernah lihat di surat khabar dan mungkin hanya pelanduk dua serupa.

Ketika sesi suai kenal, Allahyarham Haji Taib Ahmad (mantan Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu) yang menjadi pembimbing kursus orientasi itu meminta kami memperkenalkan diri seorang demi seorang. Apabila tiba giliran anak muda itu, Haji Taib menjelaskan bahawa dia menghadapi masalah pendengaran dan pertuturan.

Kemudian memberitahu bahawa Mohd Sufyan Abdul Rahman itu seorang penyair yang menggunakan nama penanya Pyanhabib. Saya terlopong kerana terkejut kemudian memandang ke arahnya sekali lagi ketika ramai peserta kursus yang lain tidak memberi apa-apa reaksi kerana tidak kenal nama Pyanhabib.

Ketika bersarapan selepas sesi suai kenal pagi itu saya segera mendekatinya dan menghulur tangan. Kemudian menulis pada sekeping kertas, “Saya peminat awak.” Pyanhabib membaca kemudian ketawa terkekeh-kekeh, mungkin itu suatu yang sangat melucukan kepadanya.

“Gua bukan artis, mana ada peminat. Ha ha ha,” ucap Pyanhabib satu-satu. Itulah detik awal perkenalan saya dengan penyair dan seniman besar yang kita miliki, Pyanhabib. Detik itu tidak pernah terpadam sekalipun sudah lebih 40 tahun berlalu dan kami sudah jauh meninggalkan zaman sebagai anak muda.

Ada kawan-kawan di pejabat menggelar dia sebagai Rano Karno kerana wajahnya mirip pelakon Indonesia itu. Perkenalan itu seterusnya merapatkan kami kebetulan saya minat dengan puisi dan acara deklamasi. Seronok berbual secara tulisan dengan Pyanhabib mengenai hal-hal berkaitan sastera dan seni serta kerap melepak di Panggung Drama di Jalan Bandar selepas waktu bekerja sambil menonton orang berlatih teater.

Kini Pyanhabib sudah tiada, penyair unik itu telah kembali ke pangkuan Ilahi pada 4 Jun 2024 lalu, ketika berusia 66 tahun di kediamannya di Hulu Kelang. Allahyarham meninggalkan isteri, Zurina Zakaria serta dua anak, Najihan (31 tahun) dan Ashman (28 tahun). Kepulangan penyair yang dilahirkan pada 27 Mei 1958 itu ternyata satu kehilangan seorang seniman yang sangat tajam kritikannya dalam puisi.

Pyanhabib memulakan kerjaya sebagai wartawan Mastika, sebuah majalah isu semasa, budaya dan sastera yang berpengaruh. Di Mastika, Pyanhabib banyak menulis isu sekitar kesusasteraan dan kebahasaan serta anekdot kritikan sosial yang tajam.

Selepas Mastika, Pyanhabib ditukarkan ke surat khabar Utusan Malaysia sebagai penyunting hingga meletak jawatan pada sekitar tahun 2000 dan menjadi penulis sepenuh masa. Sekalipun sudah tidak sebumbung di Utusan Melayu, kami selalu berjumpa di Central Market yang menjadi tempat bertemu (port) dalam kalangan seniman dan sasterawan.

Pyanhabib adalah antara penggerak kegiatan seniman jalanan di Kuala Lumpur. Pada awal tahun 1980-an, Allahyarham bersama-sama rakan seniman seperti Sani Sudin, Siso, Usop dan Mohd Shah Ibrahim serta beberapa lagi menggerakkan acara membaca puisi di bawah tiang lampu berdekatan Central Market. Mereka bukan sahaja membaca puisi tetapi turut menjual buku-buku puisi.

Terus bergema

Keberadaan Pyanhabib sejak pertengahan tahun 1970-an di Kuala Lumpur adalah serentak dengan kebangkitan golongan seniman terutama yang bergiat bersama-sama Kumpulan Anak Alam. Lalu Allahyarham menjadi sebahagian daripada gerakan kesenimanan yang paling berpengaruh di negara ini ketika itu.

Kumpulan Anak Alam digerakkan oleh seniman daripada bidang sasterawan, pelukis, dramatis dan wartawan. Pusatnya di Rumah Anak Alam, di sebuah banglo lama di pinggir Padang Merbuk, Kuala Lumpur. Tapak asal Rumah Anak Alam itu kini menjadi sebahagian daripada Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara).

Tahun-tahun 1970-an hingga awal 1990-an adalah garis masa penting yang merakamkan semaraknya kebangkitan seni di Kuala Lumpur sekali gus menjadi kota para seniman. Persekitaran sosial yang sedemikian menjadi dokongan dan pendiri kesenimanan Pyanhabib. Namanya melekat pada Kuala Lumpur dan puisi-puisi kecilnya mencetuskan getaran yang besar dalam kalangan warga di kota itu.

Dalam beg kanvasnya yang tidak pernah lekang di bahu sentiasa ada buku dan puisi-puisi bertulisan tangan yang belum sempurna. Ada contengan di sana sini. Kelebihan Pyanhabib adalah boleh berkarya di mana-mana, tidak kira suasana yang bingit atau sunyi kerana ‘suara alam’ Kuala Lumpur tidak pernah mengganggunya.

Demam panas yang menyerang ketika berusia 12 tahun telah mengambil deria menikmati suara alam di sekelilingnya. Bermula detik itu Pyanhabib menjadi lelaki ‘sunyi’ yang kehilangan suara. Bagaimanapun di sebalik kekurangan itu ada kelebihan yang tidak tertanding oleh sesetengah orang yang lebih sempurna.

Puisi Suara yang ditulis menggunakan mesin taip Latif Mohidin pada tahun 1976 ketika di Rumah Anak Alam telah membuka relung hidupnya sebagai seniman. Di sebalik karya puisinya yang ‘kecil’ itu Pyanhabib telah melontarkan persoalan kehidupan yang dilaluinya. Puisi Suara disiarkan di majalah Dewan Sastera tahun 1980-an dan merupakan satu pencapaian luar biasa bagi seorang penyair baharu.

Sepanjang hayatnya Pyanhabib menghasilkan tiga kumpulan puisi iaitu Suara, Saraf Dukaku dan terbaru Balada Pyanhabib yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Balada Pyanhabib merupakan kumpulan puisinya yang paling lengkap.

Walaupun dikenali sebagai penyair, tetapi pengarah filem Nasir Jani melihat kebolehan Pyanhabib dalam lakonan. Nasir Jani menggandingkan Pyanhabib dengan M Nasir dalam filem Kembara Seniman Jalanan (1986). Menerusi filem itu Pyabhabib dikenali pula dengan nama jolokan Osman Tikus watak lakonannya dalam filem berkenaan.

Pyanhabib seniman yang berprinsip tidak tersihir dengan kemilau populariti. Kalau tidak akan dikatanya tidak. Disebabkan prinsip itu jugalah Allahyarham menolak Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenangi menerusi filem Tsu Feh Sofiah arahan Rahim Razali pada Festival Filem Malaysia ke-6 (FFM6) tahun 1986.

Tindakan luar biasa dan mengejutkan itu adalah protes terhadap panel juri yang menolak penyertaan Kembara Seniman Jalanan dalam festival berkenaan dengan alasan lakon layar filem itu dihasil oleh warga negara luar. Bagaimanapun hakikatnya lakon layar dihasilkan oleh Nasir Jani sendiri.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pyanhabib bukan sahaja meninggalkan nama tetapi yang lebih berharga adalah karya-karya puisi yang tercorak oleh pergulatan sosial sepanjang garis masa kesenimanannya. Maka tidak hairanlah apabila Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2022 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Meneliti kembali puisi-puisi yang ditinggalkan itu umpama menjejak laluan kehidupan yang pernah diredahnya sebagai seniman. Sekalipun ditakdirkan hilang deria menikmati suara, puisi-puisinya terus bersuara dan tidak pernah ‘sunyi’ seperti yang dilalui semasa hayatnya. Suara puisinya terus bergema di sepanjang zaman.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas